Murkam (duduk, tiga dari kiri) bersama jemputan dan kepimpinan KGKS pada Persidangan Dwi Tahunan KGKS.
KOTA KINABALU: Murkam Setan @ Haji Hussein dipilih sebagai Presiden Kesatuan Guru Kerajaan Sabah (Sabah Government Teacher’s Union (KGKS)) yang baharu.
Pengumuman pemilihan Murkam dibuat pada Persidangan Dwi Tahunan Kali ke-40 yang diadakan di Suria Ballroom, di sini, baru-baru ini.
Beliau yang juga Pengerusi KGKS Cawangan Tuaran menang dalam pemilihan jawatan itu setelah menewaskan dua lagi calon presiden.
Jawatan Presiden KGKS sebelum ini disandang oleh Mohd. Kifflee Alli.
Murkam yang juga seorang pendidik di Sekolah Kebangsaan (SK) Bolong, Tuaran mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli KGKS kerana memberikan kepercayaan kepadanya untuk meneraju kesatuan itu bagi penggal 2024- 2026.
Beliau berkata, perjuangan KGKS ialah memastikan hak guru, gaji guru, kebajikan dan skim perkhidmatan mereka terbela.
“KGKS akan terus memperjuangkan kebajikan guru dalam perkhidmatan dan hak sebagai guru,” tegasnya.
KGKS merupakan kesatuan yang berdaftar di bawah Akta Kesatuan Sekerja, untuk warga pendidik yang bermastautin di Sabah dan berkhidmat di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.
Turut hadir pada persidangan kali ini ialah Timbalan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Mohd. Fadli Mohd. Noor dan Pengerusi CUEPACS Sabah, Ajulahin Japin.


































