Ellron (tengah) bersama para pemimpin, pegawau kerajaan dan wakil-wakil kampung terlibat.
KENINGAU: Sebanyak 21 kampung Mukim Dalit, Sook yang mengalami permasalahan geran komunal bagi kawasan Mandalom telah menghantar wakil masing-masing dalam satu sesi dialog yang diadakan di Kampung Biah Tengah, Sook, dekat sini, Jumaat.
Sesi dialog berkenaan telah mendapat sambutan yang begitu positif dalam kalangan wakil kampung semasa mengutarakan permasalahan mereka yang mana melibatkan usaha sama di antara mereka sebagai benefisiari dan agensi kerajaan dan syarikat swasta sebagai pelaksana.
Sesi dialog yang dianjurkan oleh Jabatan Tanah Ukur Daerah Keningau ini diadakan bagi memudahkan pihak mereka dan pihak berkenaan lainnya mengenal pasti punca permasalahan yang telah menjejaskan usaha sama antara benefisiari dan pelaksana.
Dalam pada itu, ADUN Sook Datuk Ellron Angin berkata, beliau amat gembira dengan sambutan dan penglibatan yang begitu positif daripada kalangan wakil-wakil kampung.
Katanya, menerusi sesi dialog ini wakil-wakil penduduk kampung yang hadir juga didedahkan dengan prosedur-prosedur yang ditetapkan serta kefahaman secara langsung mengenai Geran Komunal.
Selain itu, Menteri Belia dan Sukan Sabah itu mendedahkan bahawa langkah seterusnya ialah pihaknya dan agensi yang berkaitan akan membuat satu lagi libat urus ataupun perjumpaan dengan agensi kerajaan ataupun syarikat swasta sebagai pelaksana kepada Geran Komunal untuk mencari jalan penyelesaian.
“Langkah ini penting bagi mewujudkan situasi menang-menang antara benefisiari, kerajaan dan pelaksana,” katanya.
Sebelum ini, isu Geran Komunal hangat diperkatakan kepada umum terutama sekali di kawasan Sook dan Nabawan. Oleh itu, untuk membantu penduduk kampung menemui jalan keluar terutamanya di kawasan Sook, Ellron telah mencadangkan agar sesi dialog tersebut dilaksanakan.
Ini adalah satu komitmen beliau sebagai wakil rakyat Sook dalam usaha untuk membantu rakyatnya menyelesaikan permasalahan Geran Komunal.
Turut hadir pada sesi dialog berkenaan ialah Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat yang juga ADUN Tulid, Datuk Flovia Ng, Ketua Penolong Pengarah Kanan (Tanah) Kota Kinabalu, Golbert Gondungan, Penolong Pegawai Daerah Kecil Sook, Caroline Benjamin Jiugan, Penolong Pemungut Hasil Tanah, Thomas Ikon serta beberapa lagi pegawai daripada Jabatan Tanah dan Ukur Keningau.


































