PETALING JAYA: Seorang penjawat awam sebuah agensi penguat kuasa yang ditemui maut terjatuh dari tingkat 21 sebuah kondominium, di Cheras dekat sini kelmarin disyaki berselisih faham dengan ahli keluarganya sebelum insiden meragut nyawanya.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin bagaimanapun berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam insiden tersebut dan kes tersebut setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Bagaimanapun, katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes tersebut.
“Motif kejadian masih dalam siasatan namun dipercayai perselisihan faham keluarga.
“Setakat ini, tiada foul play (unsur jenayah),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Media semalam melaporkan seorang penguat kuasa wanita ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 21 sebuah kondominium di Cheras dekat sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam, mayat wanita itu ditemukan oleh pengawal keselamatan di kaki lima bangunan berkenaan dalam keadaan terbaring.
Menerusi foto yang tular di media sosial, ketika kejadian, badan mangsa dikatakan telah menghempap bahagian hadapan sebuah kereta yang diletakkan di tingkat bawah.
Difahamkan, mangsa berusia 40 tahun itu pernah pernah menjadi penerima Anugerah Cemerlang perkhidmatan dan merupakan ibu tunggal yang mempunyai lima orang anak.

































