Dr. Sabin Samitah
KOTA KINABALU: Sijil Menduduki Bangunan (OC) One Jesselton Condominium akan diproses dan dikeluarkan sebaik sahaja telah menerima permohonan OC daripada perunding, kata Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Seri Dr. Sabin Samitah.
Beliau berkata demikian sebagai respon kepada beberapa artikel yang diterbitkan dalam akhbar tempatan berkaitan kondominium tersebut, baru-baru ini.
Beliau mengulangi niat murni pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam mengambil kesemua tindakan itu adalah bagi memastikan bahawa apabila OC dikeluarkan, fungsi bangunan turut dijaga dengan baik.
Dalam erti kata lain, bangunan yang telah siap berfungsi sepenuhnya dan sesuai untuk didiami.
Jelas beliau, pihaknya tidak berniat untuk menahan atau melengahkan pengeluaran OC.
Malah, adalah menjadi keutamaan pihaknya untuk melihat senyuman pada para pelanggan.
Dr. Sabin berkata, bagi ketinggian ruang kepala tempat letak kereta dua tingkat, isu membawa masuk syarat baharu atau Uniformed Building By-Laws 2022 (UBBL 2022) sepatutnya menjadi isu sama sekali.
“Intipati isu ini adalah, dalam ketiadaan ketinggian ruang kepala yang ditulis dengan baik, penyelesaian terbaik ialah ketinggian ruang kepala tersebut hendaklah dibina seperti apa yang diamalkan atau diterima pakai semasa masa pembinaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr. Sabin berkata, Undang-undang Kecil (Bangunan) 1951 memerlukan ketinggian sembilan kaki (2.7 meter), manakala UBBL 2022 hanya memerlukan ketinggian minimum sebanyak 2.3 meter.
“Selama ini, DBKK telah menekankan keperluan untuk mematuhi ketinggian minimum bagi memastikan kesenangan dan keselesaan pembeli kondominium. Rujukan semata-mata kepada UBBL 2022 adalah bertujuan untuk memahami ketinggian minimum yang diperlukan dan tidak sekali-kali mengenakan sebarang syarat baharu. Adalah dikesali kerana banyak pihak yang mencuba untuk menggambarkan bahawa DBKK menambah syarat baharu.
“Memandangkan pembeli/pembelian unit di kondominium ini tidak mempunyai bantahan terhadap had ketinggian tempat letak kereta, DBKK tidak mempunyai bantahan untuk meneruskan pengeluaran OC untuk pembangunan ini.
“Sebaik sahaja DBKK menerima permohonan OC daripada perunding, pihaknya akan memprosesnya dengan segera,” katanya.
Beliau mennegaskan bahawa tujuan OC adalah bagi memastikan bangunan berfungsi.
“Sehubungan itu, bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini, adalah perlu bagi pihak pemaju/pengurusan sementara untuk memasang papan tanda bersesuaian, yang menunjukkan sekatan ketinggian ke tempat letak kereta,” katanya.
Dengan perkembangan terbaru ini, Dr. Sabin berharap agar pihak perunding dapat menyerahkan segala dokumen berkaitan, agar DBKK dapat memprosesnya dengan segera.
“Setelah OC digunakan, pembeli boleh berpindah dan memulakan tahun baru mereka di kediaman baharu mereka,” katanya, sambil berharap penjelasan yang diberikan akan dapat menghapuskan segala salah faham berkaitan perkara ini.


































