Anggota bomba berusaha memadam kebakaran kereta yang digunakan untuk tujuan penyeludupan terbakar di Jalan Tanah Merah-Jeli, Kampung Jedok, Tanah Merah, Kelantan.
TANAH MERAH: Seorang lelaki yang disyaki penyeludup bertindak melarikan diri selepas kereta dipandunya yang membawa muatan 10 tong berisi petrol tiba-tiba terbakar di Jalan Tanah Merah – Jeli dekat Kampung Jedok, di sini hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi selepas beberapa penduduk terdengar bunyi dentuman dari sebuah kereta jenis Proton Persona di luar rumah mereka.
Menurut Utusan Malaysia, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kemahang, Nor Azli Mat Hassan berkata, salah seorang remaja keluar dan mendapati sebuah kereta sedang terbakar yang terletak kira-kira 30 meter dari rumahnya.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 11.36 pagi sebelum enam anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian.
“Anggota bomba mendapati sebuah kereta jenis Proton Persona terbakar hampir 90 peratus di lokasi kejadian.
“Pemeriksaan mendapati, kereta terbabit membawa lebih 10 tong yang mengandungi petrol,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Nor Azli memberitahu, pemandu kereta itu bagaimanapun sudah melarikan diri sewaktu kejadian berlaku.
Katanya, anggota bomba melakukan pemadaman kebakaran menggunakan aliran air dari jentera dan api berjaya dipadam sepenuhnya kira-kira sejam kemudian.


































