PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) menjangkakan cuaca kering dan panas berlaku di negeri-negeri utara Semenanjung dengan suhu melebihi 35 darjah celsius.
Menurut Utusan Malaysia, Met Malaysia memaklumkan, ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang pula masih berpotensi berlaku di beberapa tempat di kawasan pedalaman dan barat Semenanjung, Sabah serta Sarawak.
“Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,” katanya menerusi hantaran di laman sosial.
Sebelum ini, Met Malaysia memberitahu, negara dijangka mengalami cuaca lebih kering pada Februari ini.
Perkembangan itu diramal berlaku berikutan fenomena Monsun Timur Laut yang akan berakhir pada Mac dan keadaan El Nino.






























