SPRM Johor mengesahkan menahan dua lelaki termasuk seorang pegawai TLDM bagi membantu siasatan kes kartel perolehan bagi pembinaan sebuah kem TLDM di Johor.
JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri ini menahan seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan seorang pemilik syarikat bagi membantu siasatan kes sindiket kartel kerja-kerja perolehan melibatkan sebuah Kem TLDM, di sini.
Menurut Utusan Malaysia, sumber memberitahu, kedua-dua suspek lelaki berusia 42 dan 55 tahun tersebut ditahan di Pejabat SPRM Johor kira-kira pukul 4 petang ini bagi membantu siasatan.
Sebelum ini, SPRM telah menahan tiga individu atas kesalahan membuat tuntutan palsu dan menjadi dalang ‘kartel perolehan’ kepada 13 buah syarikat pembekal yang menguruskan kerja-kerja pembinaan di sebuah Kem TLDM melibatkan nilai perolehan keseluruhan melebihi RM9 juta.
Siasatan mendapati pembayaran penuh telah dibuat, sedangkan pembinaan masih belum siap dengan sempurna.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.
Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada pukul 8.30 pagi esok bagi mendapatkan perintah tahanan reman.






























