KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga Korea ditemukan mati tergantung di dalam bilik mandi di sebuah resort Pulau Gaya, di sini, pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Hajah Kalsom Haji Idris berkata, mangsa berusia 53 tahun itu ditemukan dalam keadaan tergantung di pancuran air bilik mandi lebih kurang jam 7 pagi tadi.
Katanya, mangsa kemudian diturunkan dan terdapat kesan jerut pada bahagian leher mangsa.
Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (QEH I) untuk bedah siasat.
“Siasatan awal mendapati tiada elemen jenayah dapat dikaitkan dan kes disiasat sebagai kes mati mengejut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Zackie Nizamri Jakariah, Penolong Ketua Polis Balai Pulau Gaya di talian 013-3453278.






























