Pemain Sabah FC menjalani latihan menjelang pertembungan dengan, Macarthur FC pada aksi separuh akhir Zon Piala AFC hari ini.
PETALING JAYA: Sabah FC yang menjadi wakil kelab tunggal Malaysia bersaing di pentas Asia bakal turun menentang pasukan Liga Australia, Macarthur FC pada aksi separuh akhir Zon Piala AFC hari ini.
Berkunjung ke tempat lawan iaitu di Stadium Campbelltown Sports, Sabah membawa misi penting untuk mencipta kejutan sekali gus kekal dalam persaingan kejohanan berkenaan.
Menurut Utusan Malaysia, Pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee bagaimanapun mengakui anak buahnya akan turun sebagai pasukan ‘underdog’ dan menyifatkan Macarthur merupakan pasukan pilihan dalam aksi tersebut.
Tambah Kim Swee, berkata dengan saingan A-League kekal berlangsung sepanjang kempen Piala Asia 2023 yang menutup tirai Sabtu lalu, ia jelas memberi lebih kelebihan kepada lawannya berbanding Sabah selepas Liga Malaysia tamat pertengahan Disember lalu.
“Kalau kita lihat liga mereka masih berjalan walaupun Piala Asia berlangsung berbanding Sabah, dimana Liga Malaysia sudah berakhir.
“Mereka (Macarthur) berada di tempat ketiga di A-League pada masa sama bermain di tempat mereka, tentu ia akan beri kelebihan kepada mereka.
“Ini satu cabaran dan sebagai underdog dan tidak membawa tekanan yang tinggi tetapi apabila kita sudah layak di tahap separuh akhir, maka kita akan cuba mendapatkan keputusan positif untuk bermain di Likas kalau layak ke peringkat akhir itu tujuan utama kita,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Dalam pada itu, Sabah tentunya mengharapkan pengalaman tiga pemainnya yang bermain bersama Harimau Malaya di Piala Asia iaitu Stuart Wilkin, Daniel Ting, Dominic Tan untuk membantu ‘The Rhinos’ berdepan Macarthur.
Macarthur yang melakar kemenangan 1-0 ke atas Melbourne City Sabtu lalu di laman sendiri tentunya mahu meneruskan momentum itu apabila turun berdepan Sabah.
































