Lokasi kejadian tiga remaja dilaporkan hilang ketika memancing dan mandi di Sungai Sempit, Kampung Tanjung Batu Segari, Pantai Remis hari ini. – Utusan/Ihsan JBPM
LUMUT: Tiga remaja lelaki yang menggunakan cuti umum untuk memancing dan mandi di Sungai Sempit, Segari dekat sini, dikhuatiri lemas hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, tiga remaja itu dua orang masing-masing berusia 16 tahun dan seorang berusia 14 tahun.
Beliau memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 3.26 petang tadi.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis diketuai Pegawai Bomba Kanan II Muhamad Hanafi Bin Mohamed Rasidi ke lokasi kejadian dan tiba 37 minit kemudian,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, pasukan itu terus melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan kaedah pencarian di permukaan air.
Jelas beliau, ketika SAR dilakukan, didapati air sungai sedang pasang dengan bacaan semasa air berada pada paras ketinggian 2.37 meter.
Beliau berkata, lokasi kejadian terletak dalam kawasan ladang sawit dengan jarak kira-kira dua kilometer dari jalan besar dan hanya sesuai dimasuki dengan kenderaan pacuan empat roda manakala liputan internet adalah lemah.
































