Keadaan kereta yang terbabas dalam kemalangan di Kilometer 311.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di Tapah kelmarin.
TAPAH: Seorang anggota polis berusia 36 tahun maut apabila kereta Honda Civic yang dipandunya terbabas selepas melanggar seekor ular dalam kejadian di Kilometer 311.5, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat sini pukul 5.38 pagi kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi berkata, mangsa yang berusia 36 tahun itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Taiping.
“Siasatan awal mendapati, kemalangan itu berlaku dipercayai selepas mangsa melanggar seekor ular yang menyebabkan kereta Honda Civic dipandunya terbabas.
“Mangsa yang mengalami kecederaan parah telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Kes disiasat mengikut Sekyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan maut ini menghubungi polis bagi membantu siasatan,” katanya di sini kelmarin.
Maklumat jenis ular yang dilanggar belum diketahui.































