GEORGE TOWN : Lelaki warga tempatan yang sebelum ini menjadi buruan polis selepas disyaki terlibat dalam kejadian mengintip seorang wanita menggunakan kamera tersembunyi dalam bilik air di sebuah inap desa di Jelutong, di sini akhirnya diberkas.
Menurut Utusan Malaysia, perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab. Hamid.
Menurut Razlam, suspek ditahan kelmarin di Kuala Lumpur dan telah direman selama empat hari iaitu sehingga Rabu depan.
”Penahanan suspek lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu dibuat bagi membantu siasatan polis dalam kes ini,” katanya di sini, kelmarin.
Terdahulu katanya, lelaki tersebut diburu selepas siasatan awal polis mendapati, terdapat pautan pada kamera tersembunyi itu yang menghubungkan gajet berkenaan dengan telefon bimbit milik lelaki terbabit.
Ia susulan dakwaan wanita berkenaan yang percaya bahawa dia dan rakannya telah menjadi mangsa intipan kamera tersembunyi semasa berada di inap desa tersebut.
Ketika ini juga, kes itu sedang disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan seseorang.


































