Salah seekor ular tedung selar yang berjaya ditangkap disebuah rumah di Kampung Alor Batu, Pasir Puteh, Kelantan- Ihsan APM
PASIR PUTEH: Sebuah keluarga di Kampung Alor Batu di sini berdepan detik cemas selepas sepasang ular tedung selar ditemukan sedang mengawan di atas rumah Jumaat.
Kejadian itu disedari pemilik rumah berkenaan Sakri Wahab, 65, semasa mahu mengambil gergaji di dalam stor yang terletak tidak jauh dari kawasan dapur.
Menurut Utusan Malaysia, anak mangsa Nor Aina Amnani, 19, berkata, sejurus ayahnya melihat kelibat reptiliar itu dia terus menghubungi talian kecemasan sebelum disambungkan kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Ini merupakan kali ketiga ular ditemukan berada di dalam kawasan rumah.
“Bimbang dengan situasi itu, saya menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika dihubungi kelmarin.
Sementara itu, Pegawai APM Daerah Pasir Puteh Kapten (PA) Nik Mohd. Nor Nik Mat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.25 petang dan tiba di lokasi 24 minit kemudian.
Katanya, hasil pemeriksaan di lokasi anggota bertugas telah menjumpai sepasang ular tedung selar sedang mengawan.
“Kita berdepan kesukaran apabila salah seekor ular tersebut telah lari dan kemudian bersembunyi di belakang kabinet dapur berkenaan. Pihak kami terpaksa mengalihkan ke semua barang-barang satu persatu bagi memudahkah kerja-kerja menangkap ular tersebut.
“Alhamdulillah, akhirnya anggota bertugas berjaya menangkap kedua-dua ekor ular itu. Salah seekor ular tedung selar itu panjang lima meter dan berat 15 kilogram (kg) dan seekor lagi panjang tiga meter dan berat 9 kg,” ujarnya.
Nik Mohd. Nor berkata, ular tedung selar itu kemudian dibawa pulang ke Pusat Kawalan Operasi APM Daerah Pasir Puteh untuk tindakan lanjut.


































