IPOH: Polis menyiasat isu tular di media sosial berkaitan seorang pempengaruh mendakwa dipukul ketika berada dalam tahanan pada 9 Januari lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan bagi menyiasat dakwaan berkenaan.
Katanya, individu berkenaan juga telah dibawa ke hospital bagi tujuan pemeriksaan.
“Polis mengesan satu hantaran di media sosial oleh seorang pempengaruh yang mengatakan dia telah dipukul hingga menyebabkan kecederaan ketika dalam tahanan polis.
“Menerusi video itu juga, lelaki tersebut mendakwa polis seolah-olah memberi perlindungan kepada operasi kedai nombor ekor haram manakala pemberi maklumat pula dipukul dan dihadap ke mahkamah,” katanya di sini.
Menurut Mohd. Yusri, siasatan dilakukan pihak polis mengesahkan M. Vikram Naidu telah ditahan pada 9 Januari lalu susulan laporan polis oleh seorang wanita.
Katanya, wanita tersebut mendakwa telah diugut enam lelaki dengan meminta wang perlindungan sekiranya tidak mahu disusahkan.
“Satu kertas siasatan berkaitan dakwaan itu dibuka dan lelaki itu telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada 15 Januari lalu dan dituduh mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan sebarang penyebaran tuduhan terhadap polis dan melaporkan kegiatan jenayah yang berlaku mengikut saluran yang sepatutnya bagi diambil tindakan.
“Dibimbangi kegiatan yang membelakangkan undang-undang ini sebenarnya hanya helah menakutkan orang ramai untuk kepentingan tertentu,” katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi satu minit 56 saat yang memaparkan dakwaan tersebut dengan menyatakan polis melepaskan pesalah tauke judi nombor ekor sebaliknya menangkap individu yang membongkar kegiatan berkenaan.
































