Anggota polis menahan seorang penagih dadah yang memukul ibunya dengan kayu di Kampung Baru Felda Neram 1, Kemaman, kelmarin.
KEMAMAN: Berang tidak mendapat bekalan dadah, seorang anak tergamak memukul ibunya dengan sebatang kayu dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Baru Felda Neram 1, di sini, pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.50 pagi, wanita berusia 64 tahun itu cedera di bahagian jari dan belakang badan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian daripada kakitangan Unit Ambulans Persatuan Bulan Sabit Merah Kuantan yang memberi rawatan awal kepada mangsa.
“Kejadian dipercayai berlaku apabila suspek yang berusia 48 tahun, dipercayai sedang ketagihan dadah, naik berang dan mengamuk ekoran tidak mendapat dadah susulan pihak polis mengadakan operasi jihad dadah besar-besaran di daerah ini bagi memerangi dadah.
“Suspek yang sedang mengamuk bertindak memukul ibunya dengan kayu menyebabkan wanita warga emas itu mengalami kecederaan,” katanya kepada pemberita, kelmarin.
Hanyan berkata, mangsa yang dibawa ke Klinik Kesihatan Cheneh telah dirujuk ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut,” katanya kepada pemberita, kelmarin.
Hanyan berkata, suspek kemudiannya berjaya diberkas kira-kira pukul 2.30 petang ini, kira-kira 100 meter dari kawasan kediamannya.
“Hasil ujian urin ke atas suspek mendapati dia positif dadah dan pemeriksaan lanjut mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.
































