Chin Qi Yao menghias rumahnya dengan bunga Meihua dan tanglung sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Kampung Batu Papan 2, Gua Musang, Kelantan.
GUA MUSANG: Seorang pemuda dari Kampung Batu Papan 2 di sini menggunakan wang simpanan lebih RM10,000 bagi menghias rumahnya sempena Tahun Baharu Cina menggunakan bunga Meihua dan tanglung.
Menurut Utusan Malaysia, Chin Qi Yao, 31, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan berkata, setiap tahun dia membuat dekorasi rumahnya bagi memeriahkan sambutan itu dengan membuat persediaan selama dua bulan sebelum perayaan.
“Semua hiasan berwarna-warni yang dipamerkan membawa maksud baik. Bagi hiasan tahun naga ini saya memilih untuk mempamerkan hiasan Jinyuanbao atau jongkong emas yang bermaksud kemewahan.
“Saya juga menggantung pelbagai jenis dan saiz tanglung di rumah sebagai simbolik kehidupan serta masa depan keluarga kami akan sentiasa cerah sepanjang tahun,” katanya ketika ditemui di sini, Khamis.
Qi Yao memberitahu, pada masa sama dia turut membuat sendiri beberapa hiasan daripada angpau dan tanglung untuk digantung di bahagian dalam serta luar rumah.
Menurutnya, semua hiasan itu dibelinya sendiri di kedai dekorasi dan secara dalam talian.
“Saya juga membeli hiasan dengan harga serendah RM2 sahaja kerana paling penting hiasan ini perlu cantik dan menarik untuk membangkitkan semangat menyambut perayaan.
“Selepas sambutan Tahun Baharu Cina, saya akan simpan barang hiasan ini yang masih boleh digunakan untuk perayaan tahun hadapan pula,” ujarnya.
Sementara itu, ibu kepada Qi Yao, Arob Rattanaburi, 54, berkata, dia tidak sabar untuk menyambut perayaan itu dan turut membantu anaknya membuat persiapan.
































