Aksi Xabi Alonso (kanan) ketika mewakili Liverpool sebelum ini.
LONDON: Liverpool dikatakan telah menghubungi bekas pemainnya Xavi Alonso November lalu berhubung tawaran mengambil alih jawatan pengurus kelab tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, Alonso kini menjadi calon pilihan mengemudi Reds dalam musim berikutnya berikutan keputusan Jurgen Klopp berundur selepas lapan bulan setengah bersama kelab berkenaan.
Klopp sebelum ini dalam rakaman video memberitahu penyokong Liverpool bahawa dia telah kehabisan ‘tenaga’ dan akan menamatkan karier di Anfield pada akhir musim ini.
Keputusan itu meletakkan Liverpool sedikit goyah untuk mencari pengganti yang setaraf dengan Klopp yang sebelum ini membantu menaikkan semula kelab itu menjadi antara gergasi bola sepak dunia.
Menurut satu laporan, langkah menghubungi Alonso telah dibuat beberapa bulan lalu selepas Klopp mendedahkan hasratnya untuk berundur kepada pengurusan kelab.
Dalam laporan itu juga menyebut, Alonso yang bermain dengan Liverpool dari 2004 hingga 2009 dan menjadi sebahagian pasukan yang menjuarai Liga Juara-Juara pada 2005 merupakan calon pilihan untuk ditawarkan jawatan pengurus baharu Reds.
Walaupun urusan tawaran itu nampak mudah, persoalannya Alonso, 47, mempunyai tanggungjawab lebih besar sebagai pengurus Bayer Leverkusen pada masa ini.
Sejak menjawat tugas tersebut musim lepas, Alonso telah membawa kelab itu mendahului tangga teratas Bundesliga, dua mata di depan Bayern Munich selepas mengharungi 20 perlawanan dengan 16 kemenangan dan mengekalkan rekod tanpa kalah.
Bekas pemain yang bermain di posisi tengah itu gembira bersama kelabnya dan fokus untuk memenangi gelaran pada musim ini, namun tidak bermakna rundingan membawa dia ke England terhenti.
Dalam pada itu, menurut laporan media Jerman, desas-desus membawa Alonso kepada Liverpool sememangnya disedari oleh oleh kelab berkenaan.
Leverkusen dilaporkan kekal optimis dan yakin Alonso akan kekal bersama mereka pada musim depan.


































