Keadaan lelaki warga emas mengalami pelbagai kecederaan di muka selepas ditumbuk seorang pembuli jalan raya dalam kejadian 30 Januari lalu.
SEPANG: Seorang lelaki warga emas berusia 73 tahun mengalami pelbagai kecederaan di muka termasuk lebam di mata dan patah tulang pipi selepas ditumbuk seorang pembuli jalan raya dalam kejadian 30 Januari lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang di hadapan sebuah klinik di Taman Tasik Puchong Prima, Putra Perdana itu, mangsa tiba-tiba dipukul suspek lelaki berusia 25 tahun tanpa sebab.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pemeriksaan doktor mendapati, mangsa bengkak di kepala, lebam di mata kiri, patah tulang pipi kiri dan patah bawah tulang mata kiri.
Beliau berkata, susulan itu, polis berjaya menahan suspek petang Isnin selepas menerima laporan dibuat mangsa.
“Siasatan awal mendapati, suspek berniaga sendiri dan turut mempunyai tiga rekod jenayah membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan, Seksyen 160 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya.
Suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, kelmarin.
Katanya, pihaknya difahamkan, sebelum kejadian mangsa memandu sebuah kereta dari Brickfield, Kuala Lumpur ke Putra Perdana untuk bertemu dengan seorang rakan.
Wan Kamarul Azran berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipukul di bahagian muka, kepala dan rusuk oleh suspek tanpa sebab selain turut dimaki.
“Suspek turut mengeluarkan perkataan ‘engkau ni bodoh’ dan ‘tak pandai bagi signal’. Suspek kemudian menahan mangsa lagi sekali di depan kedai bakeri sebelum bertindak memukul mangsa buat kali kedua.
“Mangsa kemudian ditinggalkan di lokasi dalam keadaan cedera sebelum dibawa oleh ambulans ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tujuh tahun dan denda.
Jelasnya lagi, pihaknya juga mengesahkan gambar tular seorang lelaki warga emas dalam keadaan cedera di muka seperti tersebar di media sosial adalah benar dan ia membabitkan mangsa sendiri.
Katanya, pihaknya mahu orang awam yang melihat insiden itu supaya tampil ke depan bagi menyalurkan maklumat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di talian 03- 8774222 bagi membantu siasatan.
































