Raghad Kurdi dan Taib Mahmud – Foto/InstagramRaghadtaib
PETALING JAYA: Isteri kepada bekas Yang di-Pertua Negeri (TYT) Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud menegaskan tidak akan meninggalkan Malaysia di sebalik laporan mendakwa beliau melarikan suaminya yang dirawat di hospital.
Menurut Utusan Malaysia, Toh Puan Raghad Kurdi Taib berkata, walaupun dilahirkan sebagai orang asing, bagaimanapun, beliau kini memegang kewarganegaraan Malaysia dan selama-lamanya menjadi rakyat negara ini.
Sehubungan itu, Raghad merayu kepada rakyat Sarawak supaya menghentikan tuduhan dan sangkaan jahat terhadapnya yang kononnya melarikan Abdul Taib.
“Walaupun saya adalah orang asing, tetapi sekarang saya rakyat Malaysia dan akan sentiasa menjadi rakyat Malaysia.Saya tidak akan meninggalkan negara ini dan akan meneruskan kerja-kerja amal saya kepada rakyat Sarawak selepas Tun Taib kembali sihat, insya-Allah.
“Sejak beberapa hari lalu, tersebar imej dan berita di portal dan media sosial yang mencemarkan imej dan nama baik saya sebagai isteri kepada bekas TYT Sarawak.
“Satu-satunya kebimbangan saya pada masa ini ialah kesejahteraan suami saya, Tun Taib. Saya dengan rendah hati memohon tolong hentikan semua andaian dan tuduhan jahat ini terhadap saya kerana keutamaan saya hanya untuk menjaga suami saya pada ketika ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Raghad dalam media sosialnya menepis dakwaan membawa suaminya keluar dari hospital yang bertentangan dengan nasihat doktor.
Dalam hantaran di Instagram, beliau menafikan dakwaan itu yang membawa kepada laporan polis hingga siasatan dijalankan.
“Itu tidak benar. Ini buktinya,” tulisnya pada hantaran Instagramnya yang melampirkan bersama nota jururawat. bertarikh 2 Februari lalu.
Semalam, polis Sarawak dilaporkan sedang menyiasat kes bekas TYT Sarawak yang didakwa dibawa keluar dari hospital swasta.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai sehingga membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.
Terdahulu, laporan polis itu didakwa dibuat oleh seorang doktor hospital swasta yang tular di media sosial.
Dalam laporan itu, pengadu mendakwa, Abdul Taib dibawa keluar dari hospital berkenaan oleh ahli keluarga beliau meskipun dinasihat oleh doktor agar beliau kekal menerima rawatan sewajarnya.
Susulan itu, portal berita yang berpangkalan di London, Sarawak Report mendakwa berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh doktor berkenaan, Abdul Taib yang sedang menerima rawatan dibawa balik secara paksa ke rumahnya di Demak Jaya, di sini, tengah malam semalam.
Abdul Taib kemudian diletakkan di atas kerusi roda dan diusung keluar dari hospital dan dibawa menaiki sebuah kenderaan.
Taib, 87, berkhidmat selama tiga penggal sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak dari 1 Mac 2014 hingga 26 Jan lalu, apabila bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menggantikannya.
































