Anwar Ibrahim
PETALING JAYA: Pengurangan hukuman penjara dan denda terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menjadi penghalang kepada usaha kerajaan untuk membanteras gejala rasuah di negara ini.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengumuman keputusan Lembaga Pengampunan tidak sesekali tidak menggugat pendirian Kerajaan Perpaduan untuk memerangi rasuah.
Menurut beliau, terdapat pihak tertentu bersuara lantang di hadapan individu yang dipenjara namun membisu dan terus bersekongkol dalam menggeledah serta memunggah kekayaan puluhan bilion ringgit milik negara.
“Saya ambil maklum dan faham bahawa keputusan Lembaga Pengampunan minggu lalu telah mencetus wacana meluas serta beberapa pandangan keras segelintir pihak.
“Namun, ingin saya tegaskan bahawa hal ini tidak sama sekali menggugat pendirian Kerajaan melawan rasuah habis-habisan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, Lembaga Pengampunan memaklumkan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersetuju mengurangkan hukuman dan denda yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Selepas pengampunan itu, hukuman penjara bekas Presiden UMNO itu dikurangkan dari 12 tahun kepada enam tahun dan denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Dalam pada itu, Anwar berkata, proses pengampunan tersebut bukan hanya terkait soal undang-undang semata-mata tetapi pertimbangan utama adalah soal ihsan dan hak sesiapa untuk bebas memohon.
Katanya, perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukan wewenang dan budi bicara penuh bagi Yang di-Pertuan Agong untuk memutuskan urusan-urusan terkait Wilayah Persekutuan yang dibicarakan dalam Lembaga Pengampunan.
Jelasnya, keputusan yang dilakukan oleh baginda merupakan keputusan muktamad.
“Saya tegaskan keputusan itu dibuat mengikut proses sedia ada dan peruntukan undang-undang.
“Tidak ada usaha mempercepatkan pengampunan seperti tanggapan pihak tertentu. Sebaliknya mana-mana rayuan, sama ada oleh Najib atau sesiapa sahaja yang dikemukakan akan dibawa dan mesti dibicarakan oleh Lembaga Pengampunan,” katanya.


































