PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melancarkan i-Lindung Fasa 2 di bawah Pelan Perlindungan Ahli yang membolehkan ahli menggunakan dana dalam Akaun 2 mereka untuk membeli produk insurans dan takaful.
Menurut Utusan Malaysia, KWSP dalam kenyataannya memaklumkan, produk insurans dan takaful yang boleh dibeli terdiri daripada perlindungan nyawa dan penyakit kritikal untuk ahli keluarga terdekat mereka.
Katanya, ahli yang ingin membeli produk untuk diri sendiri dan keluarga terdekat boleh berbuat demikian daripada syarikat insurans dan pengendali takaful yang diluluskan KWSP boleh melakukannya melalui platform i-Lindung yang terkandung dalam aplikasi KWSP i-Akaun (Ahli).
“Sejak ia dilancarkan pada Julai 2022, hingga Disember 2023, lebih 102,301 ahli telah membeli sejumlah 118,166 polisi dan produk takaful melalui platform i-Lindung, yang meliputi insurans nyawa dan insurans penyakit kritikal pada premium yang berpatutan daripada Akaun 2.
“Susulan daripada sambutan yang menggalakkan ini, KWSP telah memperkenalkan penambahbaikan yang memfokuskan kepada pengurusan polisi dan sijil, yang ditujukan untuk perlindungan lanjutan melebihi satu tahun,” katanya.
KWSP berkata, penambahbaikan ini merupakan satu kemajuan penting dalam evolusi platform i-Lindung yang menggabungkan produk perlindungan jangka panjang untuk ahli KWSP dan keluarga tersayang.
“Platform yang dinaik taraf ini menawarkan ciri-ciri mesra pengguna bagi memudahkan pengurusan polisi yang diperkemas dan pembayaran berulang yang mudah untuk perlindungan jangka panjang,” ujarnya.
Untuk maklumat lanjut tentang i-Lindung, ahli boleh rujuk laman web rasmi KWSP di www.kwsp.gov.my atau hubungi pusat pengurusan pelanggan KWSP di talian 0389226000.


































