Pandelela Rinong
PETALING JAYA: Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong berputih mata untuk merebut tempat ke Sukan Olimpik Paris 2024 bagi acara 10 meter (m) platform wanita setelah terkandas di pusingan kelayakan Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, semalam.
Menurut Utusan Malaysia, atlet berusia 30 tahun itu beraksi di bawah prestasi sebenar apabila hanya mampu mengumpul 231.15 mata selepas membuat lima terjunan.
Permulaan saingan, Pandelela bermula dengan baik apabila berada di kedudukan ketiga, namun dia tergelincir ke posisi ke 16 pada terjunan kedua.
Biarpun dia cuba untuk memperbaiki kedudukannya ketika terjunan ketiga, namun segala tampak tidak menjadi buat Pandelela yang menyaksikan dia jauh ketinggalan dengan kelompok atasan penerjun yang lain.
Tamat saingan menyaksikan Pandelela berada di tangga ke-29 keseluruhan daripada 46 atlet yang bertanding.
Hanya 18 penerjun sahaja layak ke pusingan separuh akhir.
Daripada jumlah itu, 12 penerjun terbaik daripada kejohanan ini, tidak termasuk yang sudah melayakkan diri lebih awal, akan meraih tiket beraksi ke Sukan Olimpik Paris.
Rakan sepasukan, Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj pula akur apabila mengakhiri saingan di kedudukan ke-44 dengan meraih 167.55 mata.
Peluang terakhirnya untuk merebut tiket ke Paris adalah menerusi acara 10m platform seirama bersama Nur Dhabitah Sabri hari ini.


































