Azizulhasni Awang
PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang membuktikan dia masih lagi yang terbaik di dunia apabila memenangi pingat emas acara keirin di Kejohanan Piala Negara-Negara UCI di Adelaide, Australia semalam.
Aksi yang berlangsung di Adelaide Super Drome malam tadi menyaksikan Azizul berjaya mengenepikan lima pencabarnya yang lain untuk menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat dengan catatan 9.910 saat (s).
Kejayaan itu sekaligus menghadiahkan pingat emas pertama kem negara di kejohanan ini, manakala pingat perak milik Shinji Nakano dari Jepun, sementara Ota Kaiya merangkul pingat gangsa.
Ia merupakan kemenangan yang cukup bermakna buat Azizul memandangkan wujud kerisauan tentang prestasinya menuju ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang hanya berbaki kurang lima bulan sahaja lagi.
Terdahulu dalam pusingan kelayakan, Azizul berjaya menguasai saringan keempat untuk layak ke pusingan kedua dengan catatan 9.784s.
Di pusingan kedua pula, Azizul sempat meloloskan diri ke final setelah mengakhiri saingan di tempat ketiga di belakang Matthew Richardson dari Australia dan Xue Chen Xi dari China.
Rakan sepasukan, Muhammad Fadhil Zonis pula terpaksa berputih mata setelah terkandas seawal pusingan pertama.


































