Gandingan Kimberly Bong (kanan) dan Hanis Jaya Surya yang beraksi dalam acara berpasukan campuran di Kejohanan Akuatik Dunia 2024, Doha malam tadi.
DOHA: Kempen skuad terjun Malaysia di Kejohanan Akuatik Dunia 2024 yang berlangsung di Doha, Qatar bermula dengan langkah sumbang apabila gagal mencatatkan keputusan memberangsangkan pada hari pertama saingan.
Bagi acara campuran 3 meter dan 10 meter berpasukan, Malaysia mempertaruhkan Bertrand Rhodict Anak Lises, Hanis Jaya Surya, Kimberly Bong serta penerjun baru, Nur Elisha Rania Abrar Raj cuba untuk menempatkan diri dalam kedudukan terbaik.
Begitupun rutin ditampilkan penerjun negara lain begitu kemas yang menyaksikan Malaysia terpaksa akur untuk berada di tangga ke 11 keseluruhan dengan meraih 245.90 mata.
Pingat emas milik Great Britain, manakala Mexico meraih pingat perak, sementara Australia membawa pulang pingat gangsa.
Sebelum itu, Kimberly turut beraksi dalam acara 1 meter papan anjal bersama rakan senegara, Ong Ker Ying bersaing dengan 45 orang lagi peserta dalam acara tersebut.
Bagaimanapun Kimberly gagal melakukan terjunan memberangsangkan untuk mara ke pentas final apabila sekadar meraih 205.80 mata untuk berada di kedudukan ke 26.
Ker Ying pula berada di tangga ke 31 apabila meraih 198.00 mata.
Hanya 12 peserta terbaik sahaja yang layak beraksi di pentas final hari ini.


































