Ewon (kiri) bersama Azalina (dua kiri), Jannie (dua kanan) dan Senator Datuk Noraini Idris pada Program Jelajah Undang-Uadang Malaysia Madani 2024, di Dewan Gawir Kg Madsiang, di sini, hari ini.
PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick mahu Program Jelajah Undang-Undang Malaysia Madani dan Mahkamah Bergerak diteruskan khususnya di kawasan luar bandar di negeri ini.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, ini bagi membantu masyarakat Sabah khususnya di luar bandar yang berhadapan dengan pelbagai isu termasuk daftar lewat kelahiran dan isu pengambilan anak angkat
“Program Mobile Court atau Mahkamah Bergerak yang dimulakan oleh mantan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum sebelum ini perlu diteruskan terutamanya di Sabah dan Sarawak.
“Ini kerana kedua-dua negeri itu masih berhadapan banyak isu berkaitan dokumentasi kewarganegaraan seperti pendaftaran lewat, isu pengambilan anak angkat, isu PR, rakyat Sabah yang lahir di luar negara kembali ke negara ini berhadapan dengan isu dokumentasi dan banyak lagi,” katanya ketika berucap pada Program Jelajah Undang-Uadang Malaysia Madani 2024, di Dewan Gawir Kg Madsiang, di sini, hari ini.
Majlis itu disemprunakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, parti itu juga mempunyai Biro Kewarganegaraan dan menerima banyak aduan berkaitan isu kewarganegaraan.
“Itu sebabnya, program ini wajar dan sesuai dilaksanakan di Sabah. Terima kasih kepada Datuk Azalina kerana memilih Penampang sebagai tempat permulaan inisiatif program tahun ini.
“Saya berharap program ini dapat dilaksanakan di daerah-daerah lain di Sabah yang masih berhadapan dengan isu kewarganegaraan.
“Saya percaya bukan hanya isu kewargenagaraan tetapi banyak isu lain yang memerlukan bantuan, pelbagai agensi dan jabatan kerajaan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, ia juga bersesuaian dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan Kerajaan Madani untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada seluruh rakyat negara ini.

Sementara itu, masyarakat Penampang dan sekitarnya dijemput menghadiri Pesta Ang Pau Penampang 2024 yang akan diadakan di Buhavan Square, Donggongon, di sini, pada 16 Februari ini.
Ewon berkata, acara tahunan itu diadakan sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
“Pejabat Parlimen Penampang dan Pejabat Adun Kapayan akan mengadakan Pesta Ang Pau di Buhavan Square Donggongon Penampang dan kami menjemput semua lapisan masyarakat untuk hadir sama memeriahkan sambutan itu,” katanya selepas upacara menitik mata singa di Tapikong Fook Tet Kung, Dongongon, hari ini.
Turut hadir ADUN Kapayan Jannie Lasimbang, Timbalan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Donald Mojuntin, Ketua Cabang PKR Penampang, Joseph Alex Chang dan Ketua Masyarakat Cina Donggongon, Hoe Kwok Hung.
Mengenai upacara menitik mata singa itu, Ewon berkata, secara tradisinya menitik mata singa dibuat sebelum tibanya sambutan Tahun Baharu Cina.
“Ini adalah antara keunikan budaya di negara ini, khususnya di Penampang yang kita perlu pertahankan apa yang telah dimulakan dan telah dibudayakan oleh masyarakat Cina selama ini,” katanya.
Lima persatuan dan kelab masyarakat Cina di Penampang menerima sumbangan kepala singa daripada Ewon dan Jannie, untuk digunakan pada sambutan tahun baharu Cina yang tidak lama lagi akan menjelang tiba.






























