Dr. Joachim (tiga dari kanan) menyampaikan baju korporat kepada salah seorang Ketua Adat bagi DUN Kundasang.
RANAU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim berkata, Kabinet Negeri telah bersetuju agar jawatan semua pemegang adat dikekalkan.
“Kabinet telah memutuskan bahawa semua jawatan pemegang-pemegang adat diteruskan kecuali mereka yang sakit dan tidak dapat bekerja lagi, atau terdapat masalah-masalah lain serta sekiranya terdapat permintaan mana-mana wakil-wakil rakyat Kerajaan di satu-satu tempat untuk membuat penggantian.
“Pihak Kementerian akan mempertimbangkan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang berkata demikian pada Majlis Penyerahan Baju Pemegang Adat kepada semua ketua adat dalam DUN Kundasang di Dewan Kampung Kimolohing, di sini, hari ini.
Mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur yang berjaya menghimpunkan seramai 100 ketua adat yang terdiri daripada Ketua Anak Negeri (KAN), Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN), Ketua Masyarakat Cina dan Ketua -ketua Kampung dalam DUN Kundasang, beliau berkata, acara tersebut menunjukkan keprihatinan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah – Pakatan Harapan (GRS-PH) Plus terhadap keperluan semua termasuk para pemegang adat.
Selain ini, Kerajaan Negeri juga telah menaikkan elaun mereka bermula bulan September tahun lalu, tambahnya.
Kerana itu, beliau menyeru semua pemegang adat agar terus menyokong Kerajaan semasa yang memerintah kerana mereka juga adalah sebahagian daripada jentera di peringkat akar umbi untuk membantu Kerajaan.
Beliau mengingatkan sebagai pemegang adat mereka harus menjalankan kewajipan dengan bertanggungjawab dan mengamankan suasana masyarakat setempat.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka (pemegang adat) yang mengkritik Kerajaan.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Dr. Joachim, Yubidi Gompoyo; wakil Ketua Daerah, KAN Dualis Porodtong dan Pengerusi Penganjur Majlis, KAN Dominic Ghani serta kakitangan Mahkamah Anak Negeri, DUN Kundasang.






























