Hajiji menyampaikan cenderahati kepada El Korri.
KOTA KINABALU: Pasukan Negara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCT) Malaysia berminat untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Sabah dalam memajukan keutamaan pembangunan selaras dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030.
Penyelaras Residen PBB Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, Karima El Korri berkata demikian ketika bertemu Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Ini adalah misi pertama El Korri ke Sabah sebagai Penyelaras Residen PBB.
Dalam pertemuan itu, El Korri turut membincangkan cara 22 agensi PBB di Malaysia mengukuhkan penglibatan mereka di Sabah dengan Ketua Menteri.
Beliau memberi jaminan bahawa UNCT Malaysia komited sepenuhnya untuk menyokong Sabah dengan Matlamat Pembangunan Mampan sebagai rangka kerja panduannya.
Turut dalam rombongan El Korri ialah Ketua Pejabat Penyelaras Residen dan Perancangan Strategik, Juanita Joseph dan Pakar Ekonomi Kanan, Dr. Richard Marshall.


































