Rakaman kamera litar tertutup seorang pelanggan bertindak menikam peniaga di sebuah restoran di Taman Cemerlang Rapat di Ipoh Santu.
IPOH: Seorang peniaga mi cedera di perut setelah ditikam menggunakan pisau oleh pelanggan dalam kejadian di sebuah restoran di Taman Cemerlang Rapat di sini Sabtu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kejadian yang tular di media sosial itu berlaku sekitar pukul 6 pagi melibatkan mangsa lelaki berusia 44 tahun.
Katanya, mangsa yang cedera ditikam lelaki tidak dikenali itu kemudiannya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Mangsa dalam keadaan stabil setelah menjalani pembedahan di hospital. Satu laporan polis telah dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
“Usaha sedang dilakukan bagi mengesan suspek. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil menghubungi polis bagi membantu siasatan,” katanya di sini kelmarin.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan gambar seorang lelaki dipercayai suspek yang menikam seorang peniaga sebelum dia bertindak melarikan diri.
































