Jahid Jahim
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS) memandang serius perbuatan pihak ketiga yang cuba menggunakan reka bentuk Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi tujuan komersil.
Menterinya, Datuk Jahid Jahim berkata, hasil dapatan carian di media sosial, pihak KPLBS mendapati adanya cubaan untuk meniru reka bentuk program Rumah Mesra SMJ tersebut.
“Kita mendapati terdapat pihak lain yang menggunakan reka bentuk dan skim warna yang serupa dengan program Rumah Mesra SMJ, yang merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, katanya, pihak Kementerian memandang serius perkara tersebut kerana ianya akan mengundang kekeliruan dalam kalangan orang awam ke atas program Rumah Mesra SMJ kelak.
“Sekiranya perkara ini dibiarkan, sudah tentu ianya boleh mencetus kekeliruan di kalangan masyarakat awam berhubung inisiatif program Rumah Mesra SMJ, yang mana tujuan Kerajaan Negeri mewujudkan program ini adalah untuk memberi bantuan rumah secara percuma kepada orang miskin.
“Selain itu, kesannya juga sudah pasti menimbulkan pelbagai spekulasi serta gambaran tidak baik kepada Kerajaan di kemudian hari,” jelasnya.
Justeru, beliau meminta kepada orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pihak tertentu yang disyaki dengan sengaja mengguna pakai reka bentuk Rumah Mesra SMJ supaya melaporkannya kepada KPLBS tersebut untuk tindakan selanjutnya.
“Kita berharap pihak tidak bertanggung jawab itu berhenti mengambil kesempatan terhadap reka bentuk Rumah Mesra SMJ, apatah lagi jika bertujuan untuk mengaut keuntungan,” tegas beliau.
Untuk rekod, setakat 22 November 2023 lalu, KPLBS melalui pejabat-pejabat daerah di seluruh Sabah telah menyiapkan sebanyak 541 unit Rumah Mesra SMJ.
Manakala, pelaksanaan masih sedang giat dibuat bagi memenuhi perancangan Kerajaan Negeri untuk membina sebanyak 1,500 unit Rumah Mesra SMJ di kesemua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah, dengan anggaran kos tahunan sebanyak RM125.6 juta.
Rumah Mesra SMJ yang merupakan inisiatif baharu di bawah teras modal insan dan kesejahteraan rakyat dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) telah dilancarkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor pada 29 September tahun lepas.


































