Abidin Madingkir
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri sedang berusaha untuk membasmi kemiskinan terutama sekali golongan miskin tegar selaras dengan hasrat Kerajaan Persekutuan untuk menoktahkan miskin tegar menjelang tahun 2024.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, Kerajaan Negeri melalui Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ) telah merangka program khusus kepada Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar seramai 22,510 orang yang merupakan data Locked Figure yang berdaftar di dalam sistem eKasih.
Katanya, pendekatan program yang diguna pakai oleh SSMJ adalah berbentuk personalised dan bukan berdasarkan lokaliti (daerah).
“Program, bantuan, susbidi, peluang pekerjaan dan perniagaan akan dipadankan dengan keupayaan kumpulan sasar iaitu miskin tegar dan tidak berbentuk one size fits all,” katanya ketika menggulung untuk Jabatan Ketua Menteri (JKM) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini. Beliau menjawab isu mengenai miskin tegar di Sabah yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Senallang).
Abidin berkuata, pada prinsipnya, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM175 juta bagi pelaksanaan Program Menoktahkan Miskin Tegar di Sabah pada tahun 2024 seperti yang berikut:
(i) Program MySMJ:Profiler untuk kerja-kerja
lapangan dan verifikasi serta cadangan pemadanan bantuan yang merupakan satu inisiatif untuk memberi pekerjaan kepada anak-anak dari kalangan miskin tegar.
* Dalam langkah awal pelaksanaan gerak kerja Program MySMJ:Profiler, Sekretariat SSMJ telah melantik sebanyak 54 Pegawai MySMJ daripada golongan anak-anak miskin tegar dan ditempatkan di semua Pejabat Daerah di negeri Sabah. Pelantikan pegawai ini adalah secara in-situ, bermakna pegawai yang dilantik adalah daripada daerah masing- masing bagi memastikan mereka tidak keluar daripada daerah dan berdekatan dengan keluarga. Pegawai MySMJ ini akan melaksanakan kerja verifikasi ataupun profiling di lapangan terhadap Ketua Isi Rumah (KIR) dan Ahli Isi Rumah (AIR) bagi membantu Kerajaan Negeri untuk mengenal pasti padanan bantuan yang bersesuaian kepada KIR/AIR yang tersenarai di dalam Locked Figure senarai eKasih. Setakat ini, pegawai MySMJ ini sedang melaksanakan gerak kerja profiling di lapangan bermula 21 November 2023 dan dijangka mengambil masa dalam tempoh dua hingga enam bulan.
* SSMJ bersama dengan Malaysian Productivity Corporation (MPC) telah melaksanakan Program Rintis Profiling Miskin Tegar di daerah Tuaran bermula 15 hingga 24 November 2023 dan mengambil masa dalam tempoh 21 hari. Projek rintis di Tuaran mensasarkan seramai 1054 KIR akan dinoktahkan pada 5 Disember 2023. Program ini melibatkan gerak kerja profiling miskin tegar selama tujuh hari bersama-bersama dengan Pejabat Daerah, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Pegawai Lapangan SEDIA, Pegawai eKasih Daerah dan sukarelawan. Hasil daripada itu, analisis data dan pemadanan bantuan akan dilaksanakan hasil daripada profiling yang telah dilaksanakan selama tujuh hari. Seterusnya, cadangan pemberian bantuan akan dikeluarkan kepada agensi-agensi pemberi bantuan untuk disalurkan kepada miskin tegar tersebut.
(ii) Program MySMJ:PBT yang mana Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan telah mengeluarkan arahan dasar di mana 10 peratus pengambilan pekerja sambilan harian dalam perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan hendaklah dari kalangan miskin tegar;
(iii) Program MySMJ:DO yang menyasarkan kerjasama bersama syarikat-syarikat pasaraya di setiap daerah untuk mengambil pekerja daripada golongan miskin tegar;
(iv) Program MySMJ:GLC yang bertujuan menyediakan peluang latihan dan pekerjaan kepada anak-anak miskin tegar untuk diserapkan ke dalam Badan Berkanun Negeri atau Syarikat GLC Kerajaan Negeri;
(v) Program MySMJ:Industri yang membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak miskin tegar dalam sektor swasta dan pelabur-pelabur yang melabur di negeri Sabah sama ada dari dalam negeri atau dari luar negara;
(vi) Progam MySMJ:Pendidikan untuk memberi bantuan kewangan, peralatan persekolahan kepada anak-anak miskin tegar bagi memastikan mereka mendapatkan pendidikan dari sekolah rendah hingga ke peringkat pengajian tinggi; dan
(vii) Program MySMJ:Care yang diwujudkan untuk menambah baik sistem bantuan bulanan kebajikan di kalangan miskin tegar yang tidak produktif.
“Sementara itu, RM125 juta pula diperuntukkan khusus untuk pelaksanaan Program Rumah Mesra SMJ di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah.
“Keseluruhan peruntukan ini yang berjumlah RM300 juta merupakan pemberian khas Kerajaan Persekutuan,” kata Abidin.


































