Walter Kandayon
KOTA KINABALU: Gabungan Persatuan pelancongan Luarbandar Sabah (FeRTAS) menyambut baik peruntukan sebanyak RM106.14 juta untuk pembangunan pelancongan luar bandar dalam Bajet Negeri 2024 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun.
Presiden FeRTAS, Walter Kandayon berkata, jumlah peruntukan tersebut amat wajar memandangkan pelancongan luar babdar, terutama sekali pelancongan berasaskan komuniti (CoBT) di Sabah telah mula menunjukkan hasil yang significant selepas secara agresifnya dibangunkan oleh Lembaga Pelancongan Sabah (STB) pada tahun 2014.
Sungguhpun pembangunan CoBT hanya mula dirancakkan 8 tahun lalu, katanya, program ini sudah terbukti berupaya menyumbang kepada pembangunan negeri Sabah.
“CoBT berjaya menjana pendapatan, peluang pekerjaan dan pembangunan modal insan di luar bandar.
“Sebagai contoh ada beberapa CoBT di Kiulu dan Kota Belud yang diangkat oleh kerajaan negeri sebagai perintis pembangunan pelancongan pelancongan luarbandar mampu menjana pendapatan sehingga menjangkau RM20,000 sebulan.
“Dengan adanya peruntukan yang lebih besar maka lebih banyak program yang melibatkan pelancongan komuniti di luar bandar dapat dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi pihak komuniti pelancongan luar bandar di Sabah , FeRTAS mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri, di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
“Sesungguhnya FeRTAS amat kagum dengan kebijaksanaan Ketua Menteri dalam memberi fokus kepada tiga bidang utama pertumbuhan ekonomi termasuk industri pelancongan.
“FeRTAS amat mengalu-alukan peruntukan tersebut dan yakin bahawa ia mampu memacu pembangunan pelancongan luar bandar sering dengan impian 2030, pelancongan luar bandar Sabah bertaraf dunia,” katanya.


































