Dr. Jeffrey (kanan) berbincang dengan Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, Pelan Pembangunan Tanaman Padi dan Beras yang dilaksanakan di Kementerian melalui Jabatan Pertanian Sabah dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) adalah selaras dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (2021 – 2025) untuk memperkasakan industri tanaman padi dan beras di Negeri Sabah.
Beliau berkata, pelan strategik yang dirangka di bawah program pembangunan tanaman padi merangkumi pelan pembangunan jangka pendek dan jangka panjang.
Katanya, bagi pelan pembangunan jangka pendek, Kementerian saya melalui Jabatan Pertanian Sabah merangka strategi-strategi iaitu :
i. Meningkatkan kekerapan penanaman padi di 24,000 hektar kawasan fizikal sawah padi yang aktif bertanam. Bagi kawasan K1 iaitu sistem pengairan dan saliran yang baik, tetap dan mencukupi, seluas 11,000 hektar penanaman satu kali ditingkatkan kepada dua kali setahun menjadikan keluasan bertanam 22,000 hektar setahun; untuk kawasan K2 (sistem pengairan dan saliran asas yang memuaskan), seluas 7,000 hektar penanaman satu kali setahun ditingkatkan kepada tiga kali dalam dua tahun menjadikan keluasan bertanam 10,500 hektar setahun; dan kawasan K3 (sumber air bergantung kepada curahan hujan), seluas 6,000 hektar penanaman sekurang- kurangnya satu kali setahun.
ii. Menambah jentera pembajak sawah padi daripada 211 buah sedia ada kepada 482 buah dan jentera penuai daripada 143 buah sedia ada kepada 460 buah. Keperluan mekanisasi jentera ini diperlukan untuk pembangunan tanaman padi seluas 24,000 hektar kawasan fizikal yang sedia ada dan aktif.
iii. Mengoptimakan pemberian bantuan baja tanaman padi oleh Kerajaan Persekutuan melalui Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bernilai RM1,307.20 per hektar sedia ada kepada maksimum RM5,061.00 bagi meningkatkan hasil padi per hektar. Pada masa kini purata pengeluaran hasil padi adalah 3.44 metrik tan per hektar akan ditingkatkan kepada minimum 5 metrik tan per hektar melibatkan sasaran keluasan 24,000 hektar.
iv. Mempertingkatkan penggunaan varieti padi High Yielding Variety (HYV) TR8.
v. Meningkatkan usaha kerjasama atau kolaborasi dengan pihak swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau pelabur bagi membangunkan kawasan-kawasan baharu dan sedia ada untuk tanaman padi seperti Sawit Kinabalu 100 hektar di Kg. Teritipan, Kota Marudu.
vi. Mengekalkan pemberian insentif pembajakan sawah padi sebanyak RM494.00 per hektar dan subsidi harga jualan beras oleh BERNAS bernilai RM500.00 per tan.
vii. Menaik taraf infrastruktur pengairan sedia ada (JPS).
Bagi strategi jangka masa panjang, Dr. Jeffrey berkata, Kementerian saya melalui Jabatan Pertanian Sabah akan:
i. Membina infrastruktur pengairan baharu (JPS).
ii. Memperkasakan seluas 202.3 hektar Ladang Satelit Pengeluaran Benih Padi Berkualiti untuk memenuhi keperluan benih padi sah.
iii. Memulihkan seluas 7,392.43 hektar kawasan sawah padi terbiar.
iv. Mewujudkan seluas 3,500 hektar Kluster Padi Bersepadu Sabah (KPBS) yang mengintegrasikan beberapa program pembangunan tanaman padi dengan sasaran pengeluaran minimum enam metrik tan per hektar. Kawasan penanaman padi ini dilaksanakan di luar jelapang meliputi enam daerah utama penanaman padi iaitu Kota Marudu, Tuaran, Papar, Tambunan, Keningau dan Tenom.
v. Mengaktifkan semula bantuan baja tanaman yang telah dihentikan sejak 2021 untuk padi tanah kering tanah seluas 13,733.45 hektar bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi tanah kering.
vi. Mewujudkan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Tanaman Padi Sabah khusus bagi menjalankan program penyelidikan tanaman padi sawah dan padi tanah kering.
vii. Meningkatkan usaha kerjasama atau kolaborasi dengan pihak swasta, GLC atau pelabur bagi membangunkan kawasan-kawasan baharu dan sedia ada untuk tanaman padi seperti FELDA Sahabat Semenanjung Dent Tungku, Lahad Datu seluas 11,000 hektar.
viii.Arahan Kerajaan Negeri semasa Mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Oktober 2023 di bawah Program Keterjaminan Makanan di mana semua GLC seperti SLDB, Sawit Kinabalu, FELCRA BHD., FELDA termasuk estet-estet kelapa sawit swasta seperti Sime Darby, IOI dan estet lain perlu membangunkan tanaman makanan khususnya padi.
ix. Menubuhkan Lembaga Padi Sabah.
Dr. Jeffrey berkata, sekiranya strategi pelan pembangunan jangka pendek dan jangka panjang ini dapat dilaksanakan, kawasan penanaman padi seluas 24,000 hektar akan dapat ditingkatkan kepada 30,000 hektar.
Pertambahan keluasan ini akan meningkatkan SSL padi kepada 30 peratus berbanding 22.08 peratus pada masa kini.
“Dengan pewujudan Lembaga Padi Sabah, Kerajaan Negeri akan dapat mengurus pembangunan tanaman padi dan beras.
Dr. Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri I, menjawab pertanyaan Dr. Daud Yusof (Bongawan) mengenai perancangan Kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran bahan makanan bagi memenuhi keperluan rakyat terutama beras dan daging ruminan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Dr. Jeffrey berkata, Kementeriannya melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah mempunyai beberapa perancangan untuk meningkatkan pengeluaran bahan makanan bagi memenuhi keperluan rakyat terutama daging ruminan.
Beliau berkata, kadar Self-Sufficiency Rate (SSR) pengeluaran daging ruminan tempatan adalah sangat rendah berbanding dengan komoditi lain dan sehubungan itu, DVS Sabah telah menyusun strategi seperti berikut:
i. DVS Sabah menyasarkan untuk memperluas penternakan lembu secara fidlot iaitu membangunkan semula ladang mega ternakan lembu bagi memenuhi keperluan bekalan daging tempatan. DVS Sabah telah bekerjasama dengan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Balung, Tawau dalam meningkatkan populasi lembu pedaging melalui sistem fidlot dan dijangka akan meningkatkan populasi ternakan lembu pedaging daripada 53,000 pada tahun 2023 kepada 155,000 ekor pada tahun 2030. Peningkatan populasi ini dijangka akan meningkatkan SSR komoditi daging ruminan di Sabah dari 5.26% kepada 25% pada tahun 2030.
ii. Meningkatkan populasi ternakan ruminan dengan memfokuskan kepada program pembiakbakaan dan agihan ternakan. DVS Sabah telah membuat perolehan baka yang unggul, mempergiatkan program artificial insemination dan menyediakan bull on loan bagi pembiakan alami. Untuk tahun 2023 ini, sebanyak 900 ekor lembu betina import, 50 ekor lembu penjantan import, 1,240 ekor bebiri dan kambing import, 40 ekor lembu sapi Brahman kacukan tempatan dan 40 ekor kambing katjang tempatan telah diagihkan kepada 37 peserta yang terdiri daripada dua (2) GLC dan 35 lagi penternak kecil seluruh Sabah. Program pengagihan ternakan ini akan diteruskan pada tahun 2024.
iii. Meningkatkan pengeluaran dan mengoptimumkan penggunaan bahan makanan ternakan. Seperti sedia maklum, makanan merupakan kos terbesar dalam aktiviti penternakan. Kenaikan harga makanan ternakan menjadi isu yang amat membimbangkan. Oleh yang demikian, DVS Sabah giat memberi latihan dalam pengurusan konservasi makanan, mencari sumber makanan yang baru seperti Pakchong napier, memastikan pengeluaran ransum makanan yang berkualiti dan menggunakan sisa-sisa pertanian sebagai sumber makanan.
iv. Pembangunan fodder bank. DVS Sabah telah mengenal pasti lima kawasan tanah jabatan yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai fodder bank iaitu di Papar, Kota Marudu, Tenom, Keningau dan Semporna. Lokasi-lokasi ini dipilih sebagai fodder bank kerana kedudukan yang strategi yang akan memudahkan para penternak di daerah masing-masing untuk mendapatkan bekalan rumput makanan haiwan ternakan.


































