Shahelmey Yahya
KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan digesa agar memberikan lebih banyak peruntukan untuk penyelenggaraan bangunan-bangunan sekolah dan klinik kesihatan di Sabah dan berdasarkan keadaan yang mendesak, memandangkan saiz keluasan Sabah yang besar.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey yang membuat gesaan ini juga memohon perhatian Menteri Pendidikan untuk membantu mempercepatkan urusan pembinaan semula SMK Pulau Gaya dan SK Pulau Gaya yang rosak teruk akibat bencana angin kencang pada November 2022 lalu. Kedua-dua buah sekolah tersebut adalah terletak dalam Parlimen Putatan.
Selain itu, beliau turut mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mula mempertimbangkan pembinaan SMK Lok Kawi kerana dengan adanya SMK Lok Kawi kelak ianya akan dapat membantu mengatasi masalah kesesakan pelajar di sekitar Putatan.
“Pada masa sekarang, terdapat tiga buah sekolah menengah di daerah Putatan. Dua daripada tiga sekolah menengah tersebut mempunyai jumlah pelajar mencecah 2,000 orang dan setiap sekolah terpaksa mengadakan dua sesi persekolahan,” katanya yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah pada sesi perbahasan Dasar Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, kelmarin.
Shahelmey juga meminta KPM mempertimbangkan untuk menaik taraf Pusat Tingkatan Enam SMK Putatan kepada Kolej Pra Universiti KPM Kampus Putatan, agar keperluan masa depan yang kian bertambah akan dapat dipenuhi.
Beliau turut membangkitkan isu perumahan, di mana beliau memohon agar Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Persekutuan menyediakan peruntukan secukupnya bagi tujuan penyelenggaraan fasiliti awam bukan sahaja di dua buah Program Perumahan Rakyat (PPR) Putatan tetapi juga di PPR ynag lain.
“Dalam Parlimen Putatan, ada terdapat dua buah PPR, iaitu PPR Keramat dan PPR Serigai. Kewujudan dua buah PPR ini banyak membantu dalam isu perumahan bagi golongan B40. Namun demikian, keadaan kemudahan awam/penduduk adalah dalam keadaan yang kurang memuaskan terutamanya khidmat mesin pengangkat/lif.
“Mengikut tinjauan saya, banyak lif yang rosak serta tidak berfungsi dan juga kebocoran paip serta lantai yang mendedahkan bahaya kepada penghuni. Adalah dipohon agar Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menyediakan peruntukan secukupnya bagi tujuan penyelenggaraan fasiliti awam bukan saja di dua buah PPR dalam Parlimen Putatan tetapi juga di PPR yang lain,” ujarnya.
Beliau turut menggesa KPKT agar melihat kepada keperluan tempat tinggal yang mendesak khususnya di kawasan seperti Putatan yang bersebelahan dengan Bandaraya Kota Kinabalu.
“Parlimen Putatan adalah terletak bersebelahan dengan Bandaraya Kota Kinabalu. Keperluan perumahan juga saban tahun semakin meningkat. Melihat kepada peningkatan kos pembelian rumah yang semakin meningkat naik dan keberadaan tanah yang semakin terhad, saya agak risau tentang cabaran kemiskinan bandar terutama tentang isu pemilikan rumah atau adanya tempat tinggal.
“Dengan keadaan sekarang, dapat dilihat di rumah-rumah yang kecil dan usang didiami oleh ahli-ahli keluarga yang ramai kadangkala ada terdapat dalam sebuah rumah yang usang, tiga generasi tinggal di dalam sebuah rumah usang tersebut. Sekiranya usaha menyediakan tempat tinggal untuk mereka tidak diusahakan dari sekarang, kita mungkin berdepan dengan isu-isu setinggan haram dan berisiko kepada situasi ketidak mampuan memiliki rumah yang kekal bagi golongan berpendapatan rendah.
“Maka saya menggesa KPKT untuk melihat perkara ini khususnya di kawasan seperti Putatan atau mana-mana kawasan yang terletak di pinggir bandar. Gesaan ini adalah berdasarkan senario semasa yang mana di Parlimen Putatan ada dua buah PPR yang sudah penuh diisi. Saya selaku Wakil Rakyat sentiasa menerima permohonan baru daripada rakyat yang sentiasa memerlukan rumah-rumah PPR.”
Katanya, daerah Putatan yang telahpun wujud sejak lebih daripada 10 tahun yang lalu dengan populasi terkini seramai lebih daripada 85,000 orang memerlukan sebuah bangunan balai polis baharu diwujudkan.
Jelasnya, buat masa ini memang ada terdapat sebuah balai polis di daerah Putatan yang merupakan sebuah rumah yang disewa sejak tahun 2009, namun bagi memberi perkhidmatan kepolisan kepada masyarakat yang lebih lengkap maka dicadangkan, sementara menanti sebuah ibu pejabat polis daerah (IPD) diwujudkan, agar sebuah bangunan balai polis yang standard dibina di Putatan.
Tapak cadangan juga sudah dikenal pasti, tambahnya, sambil memohon Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil perhatian terhadap cadangan ini.
“Selain daripada balai polis Putatan, saya juga meminta KDN melihat isu Balai Polis Pulau Gaya yang sekarang dibina di atas tanah SMK Pulau Gaya. Mungkin disebabkan oleh adanya Balai Polis Gaya pada masa sekarang yang mungkin melewatkan sedikit progress pembinaan SMK Pulau Gaya. Dipohon kepada KDN untuk melihat perkara ini bersama juga dengan Kerajaan Negeri dan juga KPM.
“Di samping itu, saya juga menyampaikan hasrat daripada anggota Balai Polis Pulau Gaya, untuk meminta KDN melihat keperluan menyediakan bot untuk kegunaan di Balai Polis di Pulau Gaya,” katanya lagi.
Shahelmey yang juga ADUN Tanjung Keramat juga menyampaikan permohonan dari Persatuan Jurutera Perunding Malaysia cawangan Sabah (ACEM Sabah) berkaitan kajian semula skala yuran khidmat perunding atau BEM scale of fees.
Kali terakhir ianya dikaji semula adalah pada tahun 2003, katanya, sambil mencadangkan, selari dengan perubahan masa dan keadaan ekonomi, agar Kerajaan mengkaji semula skala yuran tersebut bagi memberi keadaan yang lebih baik kepada jurutera-jurutera perunding.


































