Lokasi kejadian seorang kanak-kanak lelaki yang ditemukan lemas ketika bermain di tali air bersebelahan sawah di Kampung Pantai Cicar, Kuala Ketil di Baling. – Ihsan PDRM
BALING: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditemukan lemas dalam tali air bersebelahan kawasan sawah di Kampung Pantai Cicar, Kuala Ketil pada pukul 4.50 petang, Isnin.
Menurut Utusan Malaysia, mangsa, Muhammad Haikal Zulkifly dipercayai sedang bermain di kawasan tersebut yang terletak satu kilometer dari rumah mangsa bersama tiga lagi kanak-kanak lain termasuk kakaknya.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsuddin Mamat berkata, kakaknya mendapati mangsa telah hilang lalu bergegas pulang ke rumah dan memanggil bapanya untuk memberitahu tentang kejadian itu.
“Bapa mangsa terus ke tempat kejadian dan mendapati anaknya telah diselamatkan oleh penduduk kampung. Dia cuba memberi bantuan Resusitasi kardiopulmonari (CPR), namun mendapati tiada denyutan nadi lantas membawa mangsa mangsa ke Klinik Kesihatan Kuala Ketil untuk pemeriksaan lanjut.
“Namun, mangsa gagal diselamatkan dan petugas klinik kesihatan telah mengesahkan kematian kanak-kanak itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Shamsuddin berkata, tempat kejadian merupakan kawasan yang menyalurkan sumber air untuk kegunaan sawah dan kedalamannya sentiasa berubah.


































