Keadaan Proton Saga FLX yang terlibat dalam kemalangan itu. – Ihsan Bomba
PENAMPANG: Dua wanita cedera dalam kemalangan melibatkan kereta mereka naiki dan sebuah pacuan empat roda di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, PKPgB Zeno Tinggalan berkata, kejadian itu berlaku di Simpang SK Sugud, pada jam 1.10 petang.
Katanya, panggilan diterima menerusi talian MERS999 dan sepasukan lapan anggota diketuai Komander Operasi, PBKII KUP Mourice Louis dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian sejauh 15 kilometer dari BBP itu, didapati berlaku satu kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu kereta jenis Proton Saga FLX dan Ford Raptor.
“Terdapat dua orang mangsa cedera di dalam Proton Saga FLX yang telah diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS Bomba dan pegawai perubatan KKM di lokasi kejadian,” katanya.
Zeno berkata, mangsa seterusnya dihantar ke hospital menaiki jentera EMRS dan ambulans untuk mendapatkan rawatan selanjutnya, manakala dua orang mangsa di Ford Raptor dilaporkan selamat.
Setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud operasi ditamatkan pada jam 1.45 petang, katanya.


































