Seorang perempuan warga emas OKU dilaporkan hilang dari rumahnya di sini hari ini. – Ihsan Bomba
BEAUFORT: Seorang perempuan warga emas yang juga merupakan orang kelainan upaya (OKU) dilaporkan hilang dari rumahnya di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, PPgB Mohammad Hasbullah Nenggok berkata, kejadian berlaku di Kampung Luagan Sanginan, pada kira-kira jam 10 pagi.
Katanya, panggilan diterima menerusi talian balai dan enam anggota diketuai beliau sendiri sebagai Komander Operasi, bergegas ke lokasi sejauh 12 kilometer dari BBP itu.
“Setiba di tempat kejadian kita mendapati seorang perempuan (OKU Mental) dikenal pasti sebagai Komoi Awang, 88, dikhuatiri hilang di kawasan hutan yang berdekatan dengan rumah.
“Menurut maklumat awal dari pengadu, mangsa hilang pada jam 9 pagi kelmarin setelah pengadu masuk ke dalam bilik dan melihat tiada mangsa dalam biliknya.
“Usaha mencari di sekitar rumah dan di kawasan kebun belakang rumah telah dilakukan namun gagal,” katanya.
Hasbullah memberitahu, pasukan bomba membuat operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama agensi penyelamat lain dan orang kampung.


































