Warga KKD mengabadikan gambar kenangan semasa Hari Keluarga KKD yang diadakan itu.
KOTA KINABALU: Seramai 500 warga Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bersama keluarga hadir memeriahkan Hari Keluarga KKD Sabah.
Pengarah Penerangan Sabah Jainisah Mohd Noor berkata, program yang julung kali diadakan itu menghimpunkan tujuh agensi di bawah KKD iaitu Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah, Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Telekom Malaysia Berhad (TM), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Pos Malaysia.
“Pada hari ini, kita membuka langkah pertama dalam melaksanakan program ini yang berkonsepkan sosial, kebajikan dan kekeluargaan dalam kalangan warga KKD di Sabah.
“Kita berharap program ini akan diteruskan di tahun-tahun berikutnya yang bertujuan untuk mengeratkan lagi kasih sayang, silaturahim, kekeluargaan yang sememangnya sudah terjalin.
“Kita percaya apa-apa juga kejayaan tidak akan tercapai sekiranya kita tidak bersama-sama menjayakannya.
“Oleh itu, terbuktinya dengan kerjasama daripada semua pihak, kita berjaya melaksanakan Hari Keluarga KKD dan berharap kakitangan KKD akan terus bekerjasama, saling memenuhi sesama kita bagi mencapai kejayaan yang lebih menyeluruh untuk semua,” katanya semasa merasmikan Hari Keluarga KKD 2023 di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Pengurus Besar Telekom Malaysia (TM) Berhad Negeri Sabah Datuk Mohd Sainal Mohd Amin turut berpendapat, program berkenaan berjaya menggabungkan ketujuh-tujuh agensi dan memberikan satu sentuhan kepada hampir semua kakitangan yang hadir.
“Impak yang dapat kita lihat hasil daripada program pada hari ini adalah apabila wujud kerjasama di antara warga KKD pada program-program rasmi atau tidak rasmi pada masa akan datang.
“Yang paling penting acara hari ini merupakan salah satu lagi platform sosial yang kita reka untuk merapatkan hubungan silaturahim, hubungan kerjasama di antara agensi-agensi yang terdapat di Sabah di bawah KKD,” ujarnya.
Turut hadir menjayakan program tersebut ialah Ketua Unit Kreatif FINAS Cawangan Sabah Drusella Brigit Anak Rijeng, Pengarah MCMC Sabah Izani Othman dan Ketua Biro BERNAMA Sabah, Fadzli Ramli.


































