Chan (belakang, tiga dari kiri) menyaksikan sesi menandatangani perjanjian persefahaman di antara LPP dan KPD Sabah.
KOTA KINABALU: Peruntukan RM6.17 billion yang diterima melalui belanjawan 2024 dapat mengukuhkan fungsi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Timbalan Menteri KPKM Datuk Chan Foong Hin berkata, Belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini mampu menyokong pelaksanaan dan program yang dirancang oleh kementeriannya.
“Peruntukan RM6.17 billion yang diterima KPKM akan dapat mengukuhkan fungsi kementerian dalam mendepani isu-isu semasa terutamanya cabaran dalam sektor pertanian dan agromakanan.
“Peningkatan peruntukan sebanyak 14.4 peratus berbanding tahun 2023 dapat membantu KPKM untuk pembangunan rantaian nilai agromakanan secara holistik serta pemerkasaan agenda kebajikan peladang, pesawah, penternak dan nelayan dengan fokus utama memastikan keterjaminan makanan kepada semua rakyat.
“Antaranya, peruntukan sebanyak RM400 juta diberikan untuk Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan dengan tumpuan khusus untuk meningkatkan pengeluaran makanan tempatan yang masih bergantung kepada sumber import.
“Agrobank juga menyediakan kemudahan pinjaman kepada pengusaha agromakanan dengan ketersediaan dana sehingga RM430 juta bagi menyokong peningkatan kapasiti pengeluaran pertanian dan daya saing agropreneur muda.
“Selain itu, Kerajaan Perpaduan juga komited untuk memberi perlindungan kepada hasil petani, penternak dan nelayan daripada musibah bencana
melalui inisiatif Tabung Bencana Pertanian dengan peruntukan sebanyak RM50 juta dan Skim Takaful Tanaman Padi juga dengan peruntukan RM50 juta,” katanya ketika berucap merasmikan Program Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Sabah di Dataran Kompleks Sukan Likas, pada Sabtu.
Beliau berharap agar program berkenaan dapat mengeratkan kerjasama strategik antara agensi kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dapat diteruskan dengan jayanya.
“Program seperti ini wajar dijadikan platform mempromosikan program-program di bawah jabatan atau agensi di bawah KPKM agar golongan sasar dapat menikmati program dan insentif yang disediakan,” tambah beliau.
Dalam majlis berkenaan, Chan turut menyampaikan geran dan menyerahkan bantuan serta menyaksikan perjanjian persefahaman di antara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Koperasi Pembangunan Desa (KPD) Sabah yang memberi manfaat kepada 7,428 orang komuniti peladang, nelayan dan usahawan di Sabah dengan nilai keseluruhan sebanyak RM4 juta.
Hadir sama, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew, Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah Datuk Phoong Jin Zhe, Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Peto Galim dan Ketua Setiausaha KPKM Datuk Lokman Hakim Ali.


































