Masiung (dua dari kanan) menyampaikan sijil-penyertaan kepada peserta daripada peserta seminar.
TELUPID: Terdapat keperluan drastik untuk mengubal akta baharu lebih tegas melibatkan haiwan ternakan berkeliaran di jalan raya yang telah banyak menyumbang kemalangan maut di negeri ini.
ADUN Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, sejak sekian lama banyak nyawa telah menjadi korban di atas jalan raya akibat kes langar kerbau dan lembu tanpa sebarang tindakan diambil kepada memiliknya.
Beliau berkata, sudah sampai masanya kementerian berkaitan mengubal undang-undang lebih tegas kepada pemilik haiwan ternakan supaya isu itu dapat ditangani.
“Tanpa disedari pemilik haiwan ternakan yang sengaja membiarkan ternakan mereka berkeliaran di jalan raya adalah pembunuh senyap yang terkecuali daripada tindakan undang-undang.
“Penguatkuasaan sedia ada ternyata amat lemah kerana lebih menguntungkan pemilik ternakan terbabit berbanding nyawa manusia dan kepentingan awam,” tegasnya.
Katanya, notis yang dikeluarkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kepada pemilik agar ternakan dijaga dan tidak berkeliaran ternyata tidak diendahkan.
Mengulas lanjut beliau berkata, di zaman moden ini sudah tidak relevan lagi pengusaha menternak haiwan di jalan raya atau kawasan awam, sebaliknya mereka perlu lebih efisen dengan menempatkan haiwan ternakan di satu kawasan berkurung.
Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) menegaskan, jika pengusaha digalakan mengurung dan menjaga haiwan ternakan sudah tentu hasil ternakan mereka dapat ditingkatkan.
Menurut beliau, isu haiwan ternakan tanpa pengawasan bukanlah perkara baharu, malah ia sering dibincangkan dalam mesyuarat PBT.
“Haiwan ternakan ini bukan sahaja membahayakan pengguna jalan raya, lebih dari itu ia turut merosakan kebun dan harta awam selain najisnya mengotorkan jalan dan kawasan rekreasi.
“Oleh kerana tiada penguatkuasaan undang-undang pemilik ternakan hanya mahu meraih keuntungan tanpa menghiraukan kemalangan jiwa dan kepentingan awam,” katanya.
Menurut Masiung, jika kementerian berkenaan tidak memperuntukkan sebarang akta, Jabatan Veterinar atau polis perlu memberi kebenaran kepada orang awam menangkap atau merampas ternakan terbabit jika menceroboh kebun, kawasan awam atau berkeliaran di jalan raya.
“Harus diingat nyawa manusia lebih penting berbanding haiwan ternakan yang dibiarkan tanpa semarang kawalan, kata Masiung yang juga Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Masiung berkata demikian selepas merasmikan Seminar Memperkasa Ahli Jawatankuasa PIBG peringkat daerah Telupid dan Tongod di Dewan Kampung Simpang Entilibon, di sini, petang kelmarin.
Dalam ucapannya pada majlis itu, beliau berkata, PIBG merupakan kerajaan kecil di peringkat sekolah selain menjadi duta penghubung antara ibu bapa, masyarakat dan Kerajaan.
Katanya, PIBG juga boleh memainkan peranan aktif sebagai badan penilai kepada prestasi pendidikan dan pentadbiran di sekolah masing-masing.
Menurut beliau, ahli jawatankuasa PIBG boleh menyalurkan pandangan sambil bertukar pendapat dengan guru dan masyarakat mengenai prestasi akademik, sahsiah dan disiplin pelajar tanpa perlu ada sikap iri hati.
Masiung mengesa guru dan ibu bapa pelajar agar menerima baik setiap cadangan bernas sekalipun idea itu datangnya daripada seorang murid.
Beliau juga mahu tenaga pengajar dan ibu bapa menjadi pencetus semangat kepada pelajar sama ada dalam budang akademik atau sukan.
Setiap bakat dan inovasi yang dicipta pelajar hendaklah diberikan galakan dan jangan sekali-kali kejayaan mereka dicantas secara halus.
Lebih 400 peserta dari 36 kumpulan jawatankuasa PIBG termasuk lima PIBG sekolah menengah di daerah Telupid dan Tongod menyertai seminar sharing itu.
Masiung turut menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada ahli jawatankuasa Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) daerah Telupid dan Tongod.


































