Kenderaan Tesla yang terbakar di Jalan Puchong Jaya, di sini.
PETALING JAYA: Kenderaan elektrik (EV) Tesla yang diletakkan di tepi jalan dilaporkan terbakar secara tiba-tiba di Jalan Puchong Jaya, di sini, malam Isnin.
Dalam kejadian pukul 8 malam itu, kenderaan berkenaan terbakar 70 peratus dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Menurut Utusan Malaysia, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kebakaran tersebut pada pukul 8.32 malam.
Katanya, seramai tujuh anggota dan dua jentera Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, bomba mendapati sebuah kereta jenis Tesla terbakar, namun, tidak melibatkan mangsa.
“Tindakan anggota dengan menggunakan satu salur pam air tangki berjaya memadamkan kebakaran sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Tambah Ahmad Mukhlis, kes itu diserahkan kepada pihak forensik untuk siasatan lanjut.
Sebelum ini tular dalam media sosial sebuah kereta Proton X70 berasap dan terbakar di Puspakom Alor Gajah Melaka.
Proton mengeluarkan satu kenyataan rasmi berkaitan video yang tular itu dan merujuk kepada kejadian itu sebagai satu “insiden suhu”.
Proton mengambil tindakan segera dan kenderaan tersebut kini berada dalam pegangan mereka.
https://www.utusan.com.my/nasional/2023/10/tesla-terbakar-di-tempat-letak-kenderaan/


































