Dr. Joachim Gunsalam
LAHAD DATU: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memainkan peranan amat penting dalam mewujudkan bandar dan penempatan manusia inklusif, selamat, berdaya tahan dan mampan, kata Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Justeru, katanya, perancangan di setiap daerah perlu berlandaskan kepada pendekatan infrastruktur Hijau untuk mengurangkan kesan pulau haba dan mengurangkan risiko bencana yang berkaitan dengan kebakaran, kemarau dan banjir.
“Saya yakin banyak isu-isu alam sekitar akan dapat ditangani dengan berkesan melalui pendekatan meningkatkan kesedaran memulihara alam sekitar serta memberi pengiktirafan kepada pihak atau individu yang turut bersama-sama menjayakan usaha melestarikan alam sekitar,” kata Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) ketika merasmikan Bengkel I-Hijau: Tindakan Bersepadu PBT Bersama Masyarakat di Taman Bandar Lahad Datu, di sini, hari ini.
Mengajak semua untuk sama-sama menyedari betapa besarnya impak semua perubahan persekitaran global terhadap kehidupan manusia, Dr. Joachim berkata, Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk memastikan bahawa khazanah dan sumber alam di Sabah akan sentiasa dipelihara dan diusahakan secara mampan demi menjamin kelangsungan hidup generasi hari ini dan akan datang.
KKTP contohnya telah merangka beberapa polisi untuk memastikan pembangunan lanskap Sabah yang berkualiti, berdaya huni, teratur dan terpelihara, katanya, sambil menambah antara polisi ialah Dasar Landskap Negeri Sabah dan Inisiatif KKTP ke arah Masyarakat Rendah Karbon, yang bertujuan untuk menggariskan hala tuju dan membudayakan amalan rendah karbon dalam pembangunan.
“Rancangan inisiatif-inisiatif penghijauan akan terus diperkasakan melalui pelan tindakan Kementerian di bawah dasar ini kelak. Justeru komponen Hijau amat penting dalam merancang pembangunan di kawasan pentadbiran masing-masing,” tegasnya.
Katanya, antara polisi KKTP yang membantu penghijauan ini ialah mengkehendaki setiap kelulusan pembangunan mensyaratkan pemaju perumahan menyediakan minimun 10 peratus kawasan lapang yang berkeluasan satu ekar ke atas dalam penyediaan persekitaran yang kondusif iaitu ruang rekreasi kepada orang awam; pelaksanaan Indeks Bangunan Hijau (GBI) diterapkan dalam reka bentuk binaan mengikut konsep kelestarian di mana tenaga, air dan bahan digunakan dengan cekap; konsep Hijau yang dimaksudkan adalah seperti pendigitalan lestari dan komponen Hijau dalam penggunaan sistem lampu solar, sisteam penuaian air hujan, material yang telap air, pemakaian 5R (refuse, reduce, recycle, reuse & recovery) dan sebagainya.
Memandangkan ia adalah salah satu agenda penting Kerajaan Negeri pada tahun ini, Dr. Joachim mengesyorkan supaya usaha dilakukan bagi menyediakan data asas mengenai sejauh mana pencapaian dalam pelan tersebut.
“Data asas ini boleh kita gunakan untuk membentuk beberapa ‘indeks kelestarian’. Contohnya sejauh mana kejayaan kita dalam kempen penggunaan plastik sekali guna dan begitu juga dengan tahap kualiti sungai-sungai kita serta pencapaian kita melaksanakan inisiatif-inisiatif teknologi hijau.
“Dengan cara ini, kita dapat mengukur tahap kelestarian negeri serta mencari jalan untuk membuat langkah- langkah penambahbaikan,” katanya.
Mengenai bengkel tersebut, Dr. Joachim berharap ia dapat menyuntik kesedaran serta kefahaman khususnya di kalangan warga agensi-agensi Kerajaan seperti Majlis Kerajaan Tempatan, pemain industri, generasi muda di peringkat sekolah, NGO dan pegawai-pegawai awam serta masyarakat awam dalam pemeliharaan dan pengurusan alam sekitar.
Seramai 100 orang menyertai bengkel tersebut.
Turut hadir Pegawai Eksekutif Majlis Daerah, Jackley Gielbert.
































