Bahrin bergambar bersama pemimpin dan ahli Gagasan Rakyat Bahagian Likas dan para jemputan.
KOTA KINABALU: Masyarakat diseru untuk mengekalkan integrasi sosial dan perpaduan Sabah sebagai sebuah negeri yang terus dicontohi dan dikuti sebagai ikon perpaduan.
Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Likas, Mohammad Bahrin Abd. Karim berkata, amalan perpaduan kaum di Sabah telah wujud sekian lama dan generasi semasa perlu terus memegang peranan untuk mengekalkannya.
“Kita sedar bahawa perpaduan kaum amat penting bagi kita di Sabah khasnya kerana kita terdiri daripada pelbagai suku kaum dan anutan agama.
“Untuk mengekalkan keharmonian dan integriti sosial yang kita ada ini, perkara terpenting adalah mengelakkan segala insiden yang boleh mencemarkan perpaduan serta mengusik sentimen yang akan menimbulkan isu rasis.
“Kita perlu terus pegang tanggungjawab untuk memastikan integriti sosial yang positif ini terus dikekalkan dan sentiasa ingat bahawa Sabah adalah negeri contoh dan tauladan kepada negeri lain di Malaysia, dalam aspek perpaduan kaum,” katanya ketika berucap pada Persidangan Gagasan Rakyat Bahagian Likas 2023 yang berlangsung di sini kelmarin.
Menurut Mohammad Bahrin, selain daripada mengekalkan perpaduan, masyarakat perlu mencintai ilmu dan menguasai pelbagai bahasa.
“Penguasaan pelbagai bahasa adalah antara langkah untuk kita menjayakan diri dan menonjol ke depan khasnya di peringkat global.
“Penguasaan pelbagai bahasa juga mampu menjadi pengikat kepada keharmonian bangsa, sekaligus mengukuhkan jalinan perpaduan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Wanita Gagasan Rakyat Bahagian Likas, Halijah Din dalam ucapannya berkata, pelaksanaan sesebuah aktiviti khasnya bagi menyampaikan wadah perjuangan parti adalah akan lebih berkesan jika dilaksanakan secara kerja berpasukan.
“Kita jangan jadikan kekangan dari segi jumlah atau bilangan yang sedikit, tetapi kita jadikan bilangan kita, yang ada dalam kumpulan kita ini, saling bekerjasama dan bergerak sebagai sebuah pasukan kerana perjuangan kita kepada akar umbi pasti akan lebih bermakna jika kita bergerak seiringan,” katanya.
Persidangan tahunan tersebut merupakan persidangan kali pertama bagi Gagasan Rakyat sejak ditubuhkan pada Mac tahun ini.
Persidangan peringkat bahagian yang berlangsung selama sehari itu melibatkan hampir 300 ahli Gagasan Rakyat Bahagian Likas serta rakan-rakan Gagasan Rakyat Bahagian Api-Api dan wakil kepimpinan negeri.
Turut hadir, Ketua Gagasam Rakyat Bahagian Api-Api, Datuk Faisyal Yusof Hamdain Deigo, Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat Pusat merangkap Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat Bahagian Api-Api, Emmie Martin Idang, Naib Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Bahagian Api-Api, Johann Joseph Diego, Ketua Wanita Gagasan Rakyat Bahagian Api-Api, Salmi Sarinoh, Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Bahagian Api-Api, Syahrul Safwan Najwan Faisyal, Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Likas, Muammar Julkarnain, Naib Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Likas, Dr. Awang Faisal Awang Rahim, Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Likas, Syahmee Mohd. Ron dan Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat Bahagian Likas, Noor Azie Ashikeen Asngari.































