Keadaan kebakaran yang meragut nyawa dua beradik di Kota Kinabalu. – Ihsan Bomba
KOTA KINABALU: Dua beradik lelaki masing-masing berusia enam dan lima tahun ditemukan rentung dalam satu kebakaran yang memusnahkan enam buah rumah di sini petang kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, PKPgB Agustavia Joe Guasi berkata, kedua-dua mangsa, Jackron Jabri, 6, dan Jayraiyen Jabri, 5, ditemukan berhampiran ruang tamu selepas kejadian yang berlaku di Kampung Pulutan, Manggatal, pada kira-kira jam 1 petang.
Katanya, berdasarkan maklumat diterima, kedua-dua mangsa ditinggalkan bersendirian d rumah kerana ibu mereka keluar bekerja dan bapa pergi ke hospital menghantar anak buahnya untuk medical review, sementara anak-anak yang lain berada di sekolah.
Jackron dikatakan baru balik ke rumah dari pra-sekolah manakala Jayraiyen memang berada di rumah.

Agustavia berkata, panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu diterima menerusi talian MERS999 pada jam 1.13 petang dan sepasukan 12 anggota bersama anggota Balai Bantuan BBP Kota Kinabalu seramai 10 orang, diketuai Komander Operasi, PBK II Mohd. Faizal Alias dikejarkan ke lokasi.
Tambahnya, turut serta dalam operasi adalah pegawai Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah seramai enam orang dan Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Sabah, PgKB I Haji Hamsa Isnurdini, Penolong Pengarah Bahagian Penyiasatan JBPM Sabah, PgKB I Johari Dzulkiflie, PKPgB Zainal Radsung @ John, PPgB Zaihat Haji Abdullah, PB Mohammad Isnaridy Arasid, Pegawai Kanan Zon 1 Kota Kinabalu seramai enam orang, Ketua Zon 1 Kota Kinabalu, PgKB I Misan Bisara, PKPgB Kurong Anak Beki, PPgB Darren John, PPgB Rony Sikawan, PPgB Badree Yansun, PPgB Mudi Pengiran, dan UNIT Drone Zon Kota Kinabalu, PB Mohd Syazmierul Ahadiat Ali Ahmad.
“Setiba di tempat kejadian yang terletak lapan kilometer dari BBP Lintas itu, didapati berlaku satu kebakaran melibatkan enam buah rumah jenis tidak kekal iaitu empat buah rumah bersaiz 25x30kaki, satu buah rumah 25x40kaki dan satu buah rumah 25x60kaki.
“Semua rumah dilaporkan musnah terbakar 100 peratus. Terdapat dua orang mangsa kanak-kanak lelaki terlibat rentung di lokasi kebakaran. Mangsa dikenalpasti sebagai Jackron Jabri, 6 dan Jayraiyen Jabri, 5,” katanya.

Menurut Agustavia, kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, katanya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran 400 kaki dan dua pancutan dengan sumber air jentera.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.53 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.25 petang setelah memastikan tiada lagi bahaya lain dan bara-bara api yang tinggal, katanya.































