Hajiji bergambar bersama Timbalan Presiden, Datuk Seri Masidi Manjun dan Ahli-ahli Majlis Tertinggi parti sebelum mesyuarat bermula.
KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) melebarkan sayap ke Pulau Labuan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor yang juga Presiden Gagasan Rakyat berkata, Majlis Tertinggi parti telah bersetuju untuk membuka satu bahagian di Labuan.
“Kita juga telah melantik Rosli Awang Damit sebagai Ketua Bahagian Labuan dan ahli jawatankuasanya,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat di ibu pejabatnya di Alamesra di sini petang tadi.
Hajiji turut berbangga berkongsi jumlah keahlian Gagasan Rakyat kini telah mencecah 300,000 orang.
Gagasan Rakyat yang dilancarkan pada 2 Mac tahun ini merupakan parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Komponen GRS lain ialah Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP).
Hajiji berkata semasa mesyuarat tersebut, mereka juga telah memutuskan bahawa mesyuarat agung tahunan bagi kesemua 73 bahagian parti di Sabah akan diadakan dari 23 Sept hingga 15 Okt tahun ini dan perhimpunan agung pertama parti itu akan diadakan pada 13 dan 14 Nov di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini.
“Kita telah pun selesaikan mesyuarat untuk cawangan di seluruh negeri,” katanya.
Mengenai kenyataan Bersatu Sabah baru-baru ini bahawa ia mungkin akan menawan semula Sabah, Hajiji berkata, ia hanyalah cita-cita besar mereka (Bersatu Sabah) tetapi rakyat Sabah yang akan menentukannya.
“Itu cita-cita besar mereka (Bersatu Sabah), biarlah, kita lihat bila tiba masanya,” katanya.
Adakah ia mengugat kedudukan GRS, Hajiji berkata: “Kami tidak tergugat. Jika dilihat dari segi keahlian, sambutan rakyat terhadap Gagasan Rakyat sahaja adalah luar biasa di Sabah.
“Bayangkan, kita boleh dapat 300,000 ahli dalam tempoh beberapa bulan selepas Gagasan Rakyat dilancarkan,” katanya.





























