Phoong meninjau keadaan jalan yang bermasalah itu.
KOTA KINABALU: Tindakan segera telah diambil terhadap jalan berlubang-lubang di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) 7 yang tular di media sosial.
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Phoong Jin Zhe berkata, setelah membaca perkongsian yang tular tersebut, beliau telah mengambil tindakan segera untuk memastikan pihak berkenaan melakukan kerja penyelenggaraan dengan segera.
“Pagi ini, saya telah pergi ke jalan tersebut meninjau keadaan dan menerima taklimat daripada jurutera KKIP serta syarikat konsesi PKM.
“Adalah dimaklumkan bahawa lubang-lubang jalan sudah ditampal, tapi ianya adalah pendekatan sementara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, satu gambar yang menunjukkan jalan berlubang-lubang di KKIP 7 tular di media sosial.

Phoong berkata, jalan tersebut kerap mengalami kerosakan kerana lokasi jalan raya tersebut terletak berdekatan dengan dua buah kilang terbesar di KKIP yang kini dalam pembinaan dan dijangka akan siap dibina pada hujung tahun ini.
“Kemajuan pembinaan dua buah kilang ini adalah amat memberangsangkan. Pembinaan yang begitu cepat menyebabkan aliran trafik yang tinggi jentera berat keluar masuk melalui jalan tersebut.
“Saya telah meneliti situasi ini secara menyeluruh. Sementara kita menunggu penyiapan kilang-kilang tersebut dan melakukan kerja menurap semula jalan tersebut, saya telah mengarahkan pihak berkenaan agar lebih prihatin dengan memantau keadaan jalan itu dan segera melakukan pembaikan jalan sekiranya ada kerosakan,” katanya.
Pada masa yang sama, Phoong berkata, Kerajaan Sabah telah meluluskan projek naik taraf Jalan Politeknik ke Bulatan J6, Rugading dan Jalan Norowot ke Bulatan J7 bagi menampung keperluan trafik yang akan meningkat bagi memastikan keselesaan pengguna jalan raya.
“Saya sendiri akan turun padang bagi memantau dan meninjau dari semasa ke semasa kerana jalan raya merupakan infrastruktur asas dalam pembangunan perindustrian.

“Pada masa yang sama, saya akan terus memohon peruntukan yang mencukupi buat masa ke semasa bagi menaik taraf jalan-jalan di KKIP.
“Sesungguhnya, Kerajaan Sabah komited menjayakan dua-dua kilang yang saya sebut tadi iaitu kilang pembuatan copper foil SK Nexilis dan kilang pembuatan kaca solar Kibing.
“Dua-dua pelaburan asing ini telah membawa pelaburan berimpak tinggi bernilai RM6.6 billion masuk ke Sabah dan akan mewujudkan sejumlah 2,300 peluang pekerjaan.
“Kerajaan yakin bahawa setelah dua-dua kilang ini siap dibina dan mula beroperasi pada hujung tahun ini, prestasi eksport Sabah akan meningkat, pekerjaan berkemahiran sederhana dan tinggi akan meningkat, dan sumbangan KDNK dalam sektor perindustrian juga bakal meningkat dan Sabah akan menuju ke arah negeri perindustrian,” ujarnya.





























