Dr. Asits Sanna
KOTA KINABALU: Seramai 474 pegawai perubatan kontrak yang baru dilantik ke jawatan tetap sebagai pegawai perubatan Gred UD43 telah melapor diri di Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr. Asits Sanna berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 339 pegawai telah melapor diri di hospital dan baki 135 pegawai telah melapor diri di klinik-klinik kesihatan di negeri ini.
Sementara itu, katanya, sejumlah 103 pegawai perubatan yang bertugas di negeri Sabah telah berpindah keluar untuk melapor diri di negeri lain.
“Jumlah keseluruhan pegawai perubatan yang berkhidmat di negeri ini adalah seramai 1,986 pegawai dengan pertambahan 371 pegawai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atas komitmen dan keprihatinan dalam memastikan bilangan pegawai perubatan di Sabah dipertingkatkan selaras dengan keperluan perkhidmatan kesihatan di negeri ini.
“Semoga dengan pertambahan ini, perkhidmatan kesihatan di Sabah bertambah baik dan dapat diperluaskan lagi.
“Jabatan ini juga merakamkan penghargaan kepada semua pegawai perubatan yang telah memberikan komitmen dan dedikasi mereka dalam memberi perkhidmatan kesihatan di negeri ini.
“Semoga kita semua bergerak ke hadapan bersama untuk mencapai matlamat dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang terbaik dan berkualiti untuk kesejahteraan rakyat di negeri ini,” ujarnya.





























