Mohd. Sofian Alfian Nair
KOTA KINABALU: Kementerian Kewangan Negeri Sabah sedang melaksanakan Program Khas Pengakuan Sukarela Cukai Jualan Negeri Bil.1 bermula pada 15 Ogos 2023 sehingga 31 Disember 2023.
Pengarah Cukai Jualan Negeri merangkap Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Negeri Sabah, Datuk Mohd. Sofian Alfian Nair berkata, program ini adalah untuk menggalakkan pembayar Cukai Jualan Negeri bagi dua produk CJN iaitu Komoditi Perikanan dibawa keluar dari Sabah; dan Besi Buruk dan Buangan yang dibawa keluar dari Sabah, agar tampil secara sukarela untuk mendaftar lesen dan mengisytiharkan cukai yang sepatutnya dibayar selarasdengan Enakmen Cukai Jualan Negeri 1998.
Tambahnya, program ini turut dilaksanakan bagi memastikan hasil negeri yang sepatutnya telah dibayar kepada Kerajaan Negeri dapat dikutip semula dalam tahun 2023.
“Melalui program khas ini, pembayar cukai tidak akan dikenakan tindakan penalti sekiranya pembayaran cukai selesai dikemukakan dalam tempoh program ini dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tempoh bercukai yang terlibat untuk Program Khas ini adalah mengikut tarikh kuat kuasa CJN ke atas produk tersebut iaitu:
| Bil. | Produk | Tempoh Bercukai Terlibat |
| 1 | Komoditi perikanan dibawa keluar dari Sabah | 1 Mei 2021 – 14 Ogos 2023 |
| 2 | Besi buruk dan buangan dibawa keluar dari Sabah | 1 Februari 2022 – 14 Ogos2023 |
Program Khas Pengakuan Sukarela CJN menyasarkan kategori-kategori berikut:
(i) Syarikat yang tidak pernah berdaftar dengan lesen CJN
(ii) Syarikat yang telah berdaftar lesen CJN tetapi belum membuat pengisytiharan CJN bagi transaksi penjualan tertentu
(iii) Syarikat yang telah berdaftar lesen CJN tetapi tidak mengisytiharkan CJN dengan betul bagi mana-mana tahun taksiran
Pihak syarikat adalah dibenarkan membuat bayaran CJN bagi pengisytiharan CJN yang dilakukan melalui Program Khas ini sama ada:
• Secara sekali gus (lump-sum) dalam tempoh 30 hari dari tarikh Borang 4; atau
• Tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kewangan, secara ansuran dalam tempoh Program khas ini dilaksanakan
Namun, pembayaran ansuran adalah tidak terpakai untuk cukai semasa bagi tempoh 15 Ogos – 31 Disember 2023 di mana pihak syarikat perlu membayar cukai tersebut sebelum barang yang dikenakan cukai dibawa keluar dari Sabah.
Garis Panduan Program Khas Pengakuan Sukarela Cukai Jualan Negeri Bil.1 boleh didapatkan di portal rasmi Kementerian Kewangan Negeri di https://mof.sabah.gov.my/ sebagai rujukan pembayar cukai.
Sebarang pertanyaan lanjut mengenai Program Khas Pengakuan Sukarela Cukai Jualan Negeri ini boleh diajukan kepada Bahagian Cukai Jualan Negeri di talian 088-368038/088-368068/088-368067 atau email kepada Dknormahani.pgmohd@sabah.gov.my / Claudia.Salbishte@sabah.gov.my































