Keadaan kereta dan lori yang terlibat dalam kemalangan itu. – Ihsan Bomba
KINABATANGAN: Seorang lelaki cedera selepas kenderaan yang dipandunya merempuh sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, PPgB Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, kejadian itu berlaku di Jalan Pan Borneo Segaliud pada jam 5.11 pagi.
Katanya, panggilan diterima menerusi talian MERS999 dan sepasukan tujuh anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Hairul Jamal dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian sejauh 17 kilometer dari balai itu, didapati berlaku satu kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga melanggar sebuah lori yang diletakkan di tepi jalan.
“Seorang mangsa lelaki berumur 35 tahun yang cedera dalam Proton Saga itu telah yang dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya.
Nurul berkata, pasukan bomba memberi rawatan awal kepada mangsa menyerahkannya kepada pihak ambulans untuk tindakan selanjutnya.
“Setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud operasi ditamatkan pada jam 5.59 pagi,” katanya.





























