Ellron (duduk, tengah) merakamkan gambar kenangan bersama warga KBSS.
KOTA KINABALU: Kakitangan awam yang diberi amanah dan tanggungjawab samada kuasa dan tugasan hendaklah menjalankannya dengan penuh integriti, kata Menteri Belia Dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin.
“Integriti secara umumnya ialah kualiti unggul yang wujud secara keseluruhan dan padu pada individu dan organisasi yang memberi penekanan kepada etika kerja yang berlandaskan tugasan kita sehari-hari.
“Kepercayaan harus dilaksanakan dengan telus, tulus, tiada konflik peribadi, berwibawa, akauntabiliti, patuh kepada undang-undang dan peraturan semasa yang berkuatkuasa dan lebih mengutamakan kepentingan awam.
“Justeru, dalam konteks kakitangan yang diberi amanah, keselarasan di antara amalan dan tindakan dengan prinsip moral, etika dan peraturan perkhidmatan awam hendaklah konsisten dalam semua aspek,” katanya.
Tambah beliau lagi, integriti sebenar ialah melakukan perkara yang betul, dengan mengetahui bahawa tiada siapa yang akan tahu sama ada anda melakukannya atau tidak.
“Sekiranya semua ini dipraktikkan integriti Kementerian ini akan lebih mantap dan cemerlang,” kata beliau.
Ellron berkata demikian sempena Majlis Sambutan Minggu Integriti Peringkat Kementerian Belia Dan Sukan Sabah Tahun 2023 bertempat di Lembaga Sukan Sabah pada Isnin.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Jawatankuasa Sambutan Minggu Integriti Kementerian Belia dan Sukan Sabah selaku Penganjur utama, dan seluruh tenaga kerja yang terlibat dalam menjayakan MIK pada tahun ini.
“Difahamkan program diadakan selama 6 hari berturut-turut bermula dari 31 Julai 2023 sehingga 06 Ogos 2023, di mana pelbagai acara dan pengisian menarik telah dilaksanakan sepanjang tahun ini,” katanya.
Antara program dan aktiviti yang diadakan ialah yang berkaitan dengan Integriti seperti pameran poster di seluruh daerah/bahagian kementerian, ceramah agama Integriti sepanjang bulan Ramadan dari penceramah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut Ellron Jawatankuasa MIK juga telah menyusun aktiviti bermanafaat seperti ikrar bebas rasuah dari kakitangan yang baru dilantik ke dalam perkhidmatan awam, sesi ceramah Integriti dari SPRM dan Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah, Pameran, Kuiz Integriti dan sesi soal jawab.
“Kesemua aktiviti ini dibuat secara kerja berpasukan dan kolabrasi antara Kementerian dan agensi di bawah iaitu Lembaga Sukan Negeri Sabah, Majlis Sukan Sabah dan Majlis Belia Sabah.
“Semoga segala perkongsian ini dapat memberikan input yang berguna kepada agensi anda juga. Syabas sekali lagi atas kehadiran semua yang menunjukkan pernyataan komitmen terhadap usaha-usaha memperkasa Integriti,” katanya.
Sementara itu, Ellron berkata bahawa usaha dan kesungguhan pihak pengurusan kepimpinan di Kementerian Belia dan Sukan Sabah yang sentiasa berusaha memperbaiki sistem dan budaya kerja yang lebih baik dan teratur.
Ini, katanya, adalah demi mengelak dan membendung segala teguran dan mencegah sebarang perkara yang negatif samada dari dalam dan luar Kementerian tersebut.
“Saya menyokong usaha yang berterusan ini dan menyeru kesemua warga Kementerian agar sama-sama bersatu hati memantapkan integriti demi kesejahteraan semua.
“Saya berharap agar melalui penganjuran MIK ini, Kementerian ini menjadi sebuah organisasi yang mantap berintegriti dari semua aspek dalam agenda pengukuhan integriti dan antirasuah,” katanya.
Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Datuk Mansur Haji Asun; Pengerusi Lembaga Sukan Sabah, Osman Aganduk; Pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah, Mohd Asneh Mohd Noor; Pengurus Besar Lembaga Sukan Sabah, Terrance Edward Pudin, dan Timbalan Pengarah Pencegahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Alexander S. Kunghi.































