Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar
KOTA KINABALU: Seramai 40 orang pelajar berpencapaian tinggi dalam bidang pendidikan akan menerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (ABCNS), pengiktirafan tertinggi dalam pendidikan di negeri ini.
Anugerah ABCNS siri ke-34 tersebut akan disampaikan oleh Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor pada 1 Ogos 2023 bertempat di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha.
Pengarah Yayasan Sabah, Dato’ Sri Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar berkata, ABCNS merupakan anugerah berprestij yang diberikan oleh Kerajaan Negeri melalui Kumpulan Yayasan Sabah kepada para pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Beliau juga menekankan bahawa ABCNS adalah penggerak kepada para pelajar untuk mencapai kejayaan akademik yang lebih tinggi.
Kata beliau, Kumpulan Yayasan Sabah menggesa para pelajar untuk mengambil peluang agar belajar dengan tekun dan cemerlang dalam pendidikan bagi mendapatkan penempatan pekerjaan di pasaran.
“Kepada semua penerima, gunakanlah peluang yang diberikan dengan sebaik-baiknya. Para pelajar berkenaan merupakan insan-insan yang terpilih dalam kalangan ribuan pelajar di negeri ini. Saya berharap mereka akan terus bekerja keras untuk berkembang menjadi individu yang serba lengkap yang mampu memenuhi keperluan pasaran semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Justeru, saya percaya bahawa anugerah tersebut akan menjadi pendorong untuk melahirkan bukan sahaja pelajar cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga individu bertanggungjawab yang menyumbang secara positif kepada masyarakat,” kata beliau.
Setakat ini, seramai 484 orang penerima ABCNS telah menamatkan pengajian mereka, manakala 213 lagi masih belajar.
“Pada tahun ini, seramai 40 orang pelajar lagi akan menerima anugerah ini. Para penerima ABCNS tersebut akan mengikuti pelbagai kursus dan bidang pengajian selaras dengan prospek kerjaya peribadi dan ekonomi berasaskan pengetahuan,” tambahnya.
Sejak penubuhannya hampir 60 tahun lalu, Kumpulan Yayasan Sabah merealisasikan misinya dalam meningkatkan kualiti kehidupam rakyat Malaysia di Sabah.
Sejak itu, Kumpulan Yayasan Sabah telah bergerak ke hadapan dan kekal teguh, menokok tambah usaha-usaha Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam membangunkan negeri ini, khususnya dalam aspek pendidikan.































